Siakap Keli

7 Tips Elak Kulit Tangan Jadi Kering Kerana Kerap Membasuh Guna Sabun

Kulit tangan kering atau kasar merupakan salah satu masalah yang sering dialami oleh semua orang, baik perempuan ataupun lelaki.

Walaupun keadaan ini hanya berlaku sementara, tetapi sekiranya kerap kali berlaku akan menyebabkan ketidakselesaan kepada seseorang.

Secara umumnya, masalah kulit tangan ini disebabkan oleh kurangnya kelembapan pada tangan. Namun, ada yang mengatakan punca kulit tangan kering juga disebabkan oleh terlalu kerap mencuci tangan. Jangan risau, Hello Doktor ada 7 cara yang boleh dicuba bagi mengatasi masalah tersebut.

Berikut dikongsikan cara-cara yang boleh anda cuba bagi mengatasi atau mengurangkan kecenderungan mengalami masalah kulit tangan daripada menjadi kering.

  1. Basuh dengan air suam

Menurut Pengarah Dermatologi Pediatrik di Massachusetts General Hospital, Dr. Daniela Kroshinsky, tempoh mencuci tangan terbaik yang disarankan adalah paling kurang 20 saat dengan menggunakan air dan sabun.

“Nyanyilah lagu ‘Happy Birthday’ sebanyak 2x. Anda pasti dapat mencuci bahagian telapak tangan, belakang jari, jari, celahan cari, pergelangan tangan serta kuku,” ujar Dr Daniela.

Penggunaan air suam adalah pilihan terbaik berbanding air panas. Ini kerana air panas cenderung menyebabkan kulit kering.

  1. Gunakan sabun pelembap

Kebanyakan sabun yang digunakan boleh menghilangkan kelembapan pada kulit, ia sekali gus menjadikan kulit kering, merekah dan mengelupas.

Pakar Kulit dan Pengasas London Premier Laser and Skin Clinics, Lucy Xu, “Penggunaan sabun yang mengandungi pelembap adalah pilihan terbaik. Elakkan sabun bar dan pilihanlah sabun dengan kandungan gliserin dan lanolin.”

Lucy juga menjelaskan tidak kira apa sabun yang digunakan, sebaiknya cuba untuk tidak terlalu agresif ketika mencuci tangan. Apatah lagi jika anda mengejar masa.

  1. Gunakan pelembap

Apabila lembapan tidak dapat dikekalkan pada kulit selepas mencuci, ia pastinya akan menjadikan kulit tangan kering.

Ketika mencuci tangan, air akan bertindak seperti magnet dan akan menarik keluar air daripada lapisan kulit paling dalam. Hasilnya kulit yang sudah kering akan menjadi lebih kering.

Bagi mengatasinya, anda disarankan untuk menggunakan losyen pelembap selepas mencuci tangan. Penggunaan losyen secara nipis sudah memadai.

Jadi selalulah menggunakan losyen setiap kali selepas mencuci, sebelum tidur dan pada bila-bila masa anda berasa kering.

  1. Penggunaan sarung tangan

Pemakaian sarung tangan dan topeng muka dapat membendung individu yang tidak sihat daripada menyebarkan jangkitan. Dalam masa yang sama sarung tangan juga membantu dalam mengekalkan kelembapan kulit, bagaimana?

Anda boleh mencuba merendam tangan dengan air selama 5 minit, kemudian sapukan losyen pelembap dan pakailah sarung tangan kapas untuk 1 hingga 2 jam. Ia dapat memastikan permukaan tangan akan memperolehi kelembapan yang diperlukan.

  1. Balsam kulit

Jika anda mempunyai masalah kulit seperti ekzema atau psoriasis dan mendapati kulit tangan kering akibat kerap mencuci tangan, anda disarankan untuk mengunakan balsam kulit seperti Vaseline dan menyapunya terus kepada bahagian bermasalah.

Penggunaan balsam kulit dipercayai dapat memberikan ketenangan kepada bahagian bermasalah dan melindunginya daripada menjadi lebih teruk.

  1. Gel pembersih tangan

Sekiranya keadaan tangan anda terlalu sakit untuk dibasuh, anda boleh menggunakan gel pembersih tangan sebagai ganti.

Penggunaan gel pembersih tangan adalah pilihan untuk mengehadkan anda daripada kerap mencuci tangan sehingga keadaan kulit pada tangan kembali pulih.

Tetapi anda tidak boleh menggunakan gel pembersih dan perlu mencuci tangan untuk melakukan perkara seperti:

  • Sebelum dan selepas makan
  • Selepas ke bilik air
  • Ketika terdapat kotoran yang kelihatan pada tangan seperti tanah
  1. Tisu kertas

Jika ingin mengelap, pilihan terbaik adalah untuk menggunakan tisu kertas pakai buang. Ia dapat mengelakkan pindah silang mikro kepada kulit.

Tetapi jika ingin menggunakan kain pengelap, pastikan setiap isi rumah mempunyai kain pengelap sendiri dan perlu diganti setiap 3 hari sekali.

Pastikan tangan dilap dan dikeringkan sebaiknya, ini kerana kuman lebih mudah berpindah pada tangan yang basah.

Menjaga kebersihan diri

Bagi membendung penularan wabak COVID-19, penjagaan kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan, mengelakkan sentuhan pada muka, pemakaian topeng muka serta penggunaan sarung tangan ketika melakukan sesuatu adalah amat digalakkan.

Namun dalam masa yang sama penjagaan kelembapan tangan juga perlu bagi mengelakkan kulit tangan kering akibat kekerapan membersihkan tangan sama ada dengan mencuci atau menggunakan gel pembersihan.

Sumber: Hello Doktor

Nor Azilah