Siakap Keli

“#Indonesia? Terserah!!!” Trending Di Negara Jiran, Tanda Kecewa Kerana Ramai Abaikan “Social Distancing”

JAKARTA — “#Indonesia? Terserah!!!” kini menjadi trending utama di media sosial Indonesia, satu manifestasi kekecewaan terhadap sikap warga Indonesia tertentu yang mengabaikan penjarakan sosial bagi membendung penularan virus COVID-19.

Hashtag itu dipercayai dimulakan petugas kesihatan pada 15 Mei lepas, yang kemudiannya didokong warganet, menjadi tular dan trending dipelbagai platform media sosial sehingga kini.

Indonesia mencatatkan jumlah kematian tertinggi di Asia Tenggara, iaitu berdasarkan data rasmi yang dinyatakan jurucakap pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, setakat semalam, berjumlah 1,391 kematian manakala kes positif meningkat kepada 22,750 kes.

Menurut Ketua Umum Ikatan Doktor Indonesia (IDI), Daeng M. Faqih, seperti dipetik media tempatan, seramai 25 doktor meninggal dunia ketika menjalankan tugas akibat dijangkiti COVID-19.

Ketika ini hanya terdapat kira-kira 6,000 pakar respiratori di Indonesia dan trend peningkatan kes virus pastinya akan memberikan tekanan kepada petugas kesihatan, yang “bekerja tanpa henti” sejak kes pertama COVID-19 dikesan di Indonesia pada 2 Mac lepas.

Majoriti netizen mengecam sikap masyarakat yang masih tidak mempedulikan arahan pematuhan pembatasan sosial berskala besar (PSBB) yang dikuatkuasakan sejak 15 Mac lepas bagi menangani penularan virus itu.

Penyanyi dan pemuzik Iwan Fals menerusi akaun Instagramnya turut mengungkap kata-kata: “Tetap harus semangat, kita enggak boleh nyerah dengan keadaan. Oke terserah, tetapi bukan berarti pasrah kan, bukan berarti menyerah”.

Pemerhati media sosial melihat #Indonesia? Terserah!!”, selain sindiran kepada masyarakat yang ingkar arahan PSBB , ia juga kritikan kepada pihak berkuasa Indonesia, yang tidak maksimumkan penguatkuasaan peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam PSBB.

#Indonesia? Terserah!! turut mendapat perhatian Gabernor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo yang berharap petugas kesihatan tetap bersemangat, bekerja bersungguh-sungguh demi rakyat dan negara.

Gabernor Jakarta, Anies Baswedan, dalam satu kenyataan, berkata majoriti warga kota Jakarta sebenarnya mematuhi PSBB yang berkuat kuasa sehingga 4 Jun depan dan berkemungkinan PSBB dilonggarkan sekiranya kes positif virus itu menunjukkan trend penurunan.

“Jika kes tidak berkurangan, akan dilanjutkan lagi (PSBB), yang penting adalah utamakan kepentingan bersama dan bukannya diri sendiri, semoga kota Jakarta dapat beroperasi semula dengan protokol baharu, aktiviti sosioekonominya dapat beroperasi semula dengan normal baharu, “katanya.

Tiada kes kematian terbaharu di Jakarta semalam, dan kes positif COVID-19 di provinsi Jakarta juga menunjukkan trend menurun.

Menurut pemerhati media sosial, video tidak mematuhi PSBB yang tertular di pelbagai platform seperti Twitter, Instagram dan Facebook misalnya, banyak yang disunting dengan memasukkan video dan foto lama, antaranya gambar penunggang motosikal yang bersesak ketika berlakunya banjir buruk di Jakarta pada awal tahun 2020.

#Indonesia? Terserah!!” juga mendapat pelbagai reaksi negatif terhadap petugas kesihatan, antaranya; “Bisanya cuma ngeluh, kan digaji sama negara yo tinggal jalanin yang ikhlas. Itu kan sudah jadi tugasmu,” .

Komen itu dipercayai daripada seorang pemandu perkhidmatan pengangkutan seru-pandu atau Gojek, yang kini terjejas teruk pendapatan akibat pelaksanaan PSBB. Di Jakarta sahaja, lebih 2.8 juta kehilangan pekerjaan akibat pelaksanaan PSBB yang membataskan aktiviti sosioekonomi, manakala lebih dua juta yang berpendapatan harian juga terjejas teruk bagi menyara keluarga.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, dalam satu kenyataan media, yang dikeluarkan Sekretariat Presiden hari ini, berkata pihak polis dan tentera telah diarahkan “mendisiplinkan masyarakat terkait protokol kesihatan” ketika berada di tempat awam.

“Anggota TNI (Tentera Nasional Indonesia) dan Polri (Polis Republik Indonesia) akan disebar ke sejumlah titik keramaian untuk sentiasa mengingatkan masyarakat dalam menerapkan kedisiplinan protokol tersebut,” kata Jokowi.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.