Kredit: Bernama

Rempuh Sekatan Polis Dan Larikan Diri Lebih 40 Km, Tiga Penjenayah Tumpas

IPOH, 27 Mei — Polis menahan tiga lelaki yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna, Toyota Avanza yang cuba melarikan diri dengan kenderaan itu sejauh 40 kilometer dari sini, hari ini setelah diarahkan oleh polis supaya berhenti di Simpang Pulai.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP A Asmadi Abdul Aziz berkata semua suspek berumur antara 21 hingga 26 tahun berjaya ditahan di Jalan Chenderiang Lama, Tapah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas setelah tayar Toyota Avanza itu ditembak polis.

Katanya dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi itu, polis trafik telah mengarahkan pemandu yang berumur 26 tahun untuk berhenti di bahu jalan kerana menggunakan telefon bimbit di Jalan Sultan Nazrin Shah, Simpang Pulai di sini.

“Pemandu bagaimanapun bertindak memecut kenderaan ke arah Gopeng dan siasatan awal mendapati seorang rakan yang duduk di bahagian belakang telah mengacukan pisau di perutnya supaya tidak memberhentikan kenderaan kerana mempunyai kesalahan berkaitan dadah,” katanya pada sidang media di sini hari ini (semalam).

A Asmadi berkata pemandu telah merempuh sekatan jalan raya di hadapan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng selain mengelak satu lagi halangan polis di Kampar.

Bagaimanapun, A.Asmadi berkata polis menerusi Op Tutup di hadapan Balai Polis Chenderiang telah menghalang laluan dengan menggunakan sebuah lori dan kereta, namun suspek tetap merempuh halangan itu sehingga memaksa polis melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kanan Toyota Avanza.

“Ini menyebabkan kenderaan itu terbabas dan melanggar tiang parkir sebuah rumah. Ketiga-tiga suspek yang beralamat di Kampar dan Tapah masih cuba melarikan diri namun gagal dan berjaya ditahan kira-kira 40 minit selepas kejadian,” katanya.

Menurut A Asmadi pemeriksaan mendapati Toyota Avanza itu disewa dan pemandu kenderaan tidak memiliki lesen memandu malah mereka disyaki telah mencampakkan sejumlah dadah daripada kenderaan semasa melarikan diri daripada polis.

“Polis masih menjalankan siasatan di lokasi dan sedang mengesan dadah yang dibuang oleh suspek dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9),” katanya sambil menambah semua suspek positif dadah jenis methampetamine dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

A Asmadi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 26 Akta Polis 1967 kerana tidak mematuhi arahan pihak berkuasa, serta Seksyen 42 dan 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: BERNAMA

Amira

Makin kita belajar, makin kita tahu sebenarnya banyak yang kita tak tahu.

Editor: Fazidi

Dari Wiser.my