Siakap Keli

Hantaran Hitam Dan #BlackOutTuesday Penuhi Media Sosial, Tanda Pembelaan Atas Kematian George Floyd

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Platform media sosial Instagram menjadi gelap pada malam Selasa, apabila pengguna di seluruh dunia memuat naik hantaran gambar kosong berwarna hitam, bagi menzahirkan pembelaan terhadap kematian warga kulit hitam, George Floyd, ketika ditahan polis Minneapolis, Amerika Syarikat (AS), minggu lepas.

Hantaran berwarna hitam itu yang disertakan dengan tanda pagar #blackoutTuesday dilihat sebagai simbol perpaduan dengan masyarakat kulit hitam dan tunjuk perasaan terhadap perkauman serta budaya kekejaman polis terhadap mereka di AS.

‘Blackout Tuesday’ bermula sebagai protes industri muzik terhadap kematian Floyd, yang kemudian telah mencetuskan tunjuk perasaan dan rusuhan di seluruh negara itu dan ia juga sebagai tanda sokongan terhadap pergerakan Black Lives Matter.

Sementara selebriti antarabangsa seperti Jeniffer Lopez, Usher dan The Rock melaksanakan peranan mereka, ahli perniagaan dan mereka yang berpengaruh di media sosial di Malaysia turut menyertai tindakan sama, menyuarakan sistem layanan tidak adil terhadap masyarakat berkulit hitam dan kontroversi berkitar dengan bantahan jalanan yang menjadi tajuk utama media dunia sejak minggu lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes memuat naik hantaran hitam di Instagramnya dengan tulisan ‘Black Lives Matter’ yang ditebalkan, menzahirkan perasaannya berhubung kejadian itu.

“Perkauman sentiasa menjadi salah satu kebencian terbesar saya. Coronavirus telah menunjukkan, kita semua sama. Tetapi perkauman berlaku di mana-mana dan dalam pelbagai bentuk,” kata ahli perniagaan berusia 56 tahun itu menerusi catatan di Instagramnya.

Penyanyi lagu popular Yuna juga mengambil pendirian menyiarkan gambar hitam dengan petikan “Rasisme dan benci tidak ada tempat di sini. #blacklivesmatter”,.

Dia juga berkongsi bagaimana muzik masyarakat berkulit hitam mempengaruhinya sebagai artis.

View this post on Instagram

As a Malaysian Muslim artist who grew up listening to music made by Black artists & composers, never imagining that I would then grow up and have the opportunity to work with talented Black artists, producers, musicians, dancers, even connecting with the fans – it’s my responsibility to come together not only to celebrate the wins, but also be there and stand together during a loss. Without their perseverance we wouldn’t have been able to enjoy and be inspired by their art form- which connects everyone globally, even all the way to Malaysia. My record label and I will be joining the music industry black out Tuesday to stand in solidarity with my Black brothers and sisters against racism, and reconnect with my community, where conversations about fighting racism needs to happen. We stand for peace & equality. BLACK LIVES MATTER. #theshowmustbepaused #blackouttuesday

A post shared by Y U N A (@yuna) on

“Sebagai artis Muslim Malaysia yang membesar dengan mendengar muzik yang dihasilkan oleh artis dan komposer berkulit hitam, tidak pernah membayangkan bahawa saya kemudian akan membesar dan berpeluang bekerja dengan artis, produser, pemuzik, penari berkulit hitam yang berbakat termasuk juga berhubung dengan peminat – adalah tanggungjawab saya untuk bersama bukan sahaja untuk meraikan kemenangan tetapi juga berada di sana dan berdiri bersama semasa berlaku kehilangan.

“Tanpa kegigihan mereka, kami tidak akan dapat menikmati dan menginspirasikan oleh karya seni mereka – yang menghubungkan semua orang di seluruh dunia, bahkan hingga ke Malaysia,” katanya dalam kapsyen.

Pakar bedah, Dr Amalina Che Bakri juga memuat naik gambar kosong hitam di akaun Instagramnya dengan kapsyen yang memetik kata-kata ikon Aktivis Hak Asasi Manusia, mendiang Martin Luther King Jr, “Kegelapan tidak dapat mengusir kegelapan, hanya cahaya yang dapat melakukannya. Kebencian tidak dapat mengusir kebencian, hanya cinta yang dapat melakukannya. – Cukup-cukuplah,”

Ribuan pengguna Malaysia juga berkongsi pendapat mereka mengenai kejadian tersebut melalui aplikasi dan platform media sosial yang lain, memberi penerangan dan mendidik orang ramai untuk menyuarakan pendapat berhubung isu itu.

Pada 25 Mei lalu, sebuah video tular di laman sosial menunjukkan seorang anggota polis berkulit putih, Derek Chauvin menekan lututnya di atas leher Floyd, yang terbaring, selama lapan minit 46 saat, sehingga menyebabkan lelaki berkulit hitam itu tidak dapat bernafas.

Floyd, 46, beberapa kali merayu meminta dilepaskan dengan berkata, “Saya tidak dapat bernafas!”, tetapi Chauvin dilihat tidak mengendahkan dan terus menekan lehernya di lutut Floyd, yang turut mencetuskan ketakutan dalam kalangan warganet yang menyaksikan video itu.

Floyd akhirnya meninggal dunia, tetapi pejabat pemeriksa perubatan memutuskan kematiannya akibat kegagalan jantung dan tidak menyebut sesak nafas.

Bagaimanapun, laporan bedah siasat pihak lain mendapati Floyd mati kerana sesak nafas dan memutuskan kematiannya sebagai satu pembunuhan.

Video berkenaan, termasuk beberapa kes yang sama membabitkan keganasan polis terhadap masyarakat kulit hitam AS, telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat negara itu sehingga membawa kepada tunjuk perasaan jalanan di dalam dan luar negara.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang