Siakap Keli

PKPB: Tiga Beradik Antara 17 Pasangan Bernikah Di Jitra

JITRA, 3 Jun  — Tiga beradik  antara 17 pasangan yang selamat bernikah hari ini, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam majlis ringkas yang dilaksanakan di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu, di sini.

Pasangan adik beradik itu ialah Amiera Solehah Mohd Nasir, 23, Mohamad Hafiz, 26, dan Mohamad Helmi, 29, yang dinikahkan dengan pasangan masing-masing iaitu Nor Azam Ishak, 26, Nurul Rashidah Mohd Nasir, 27, dan Nurul Hafizah Fauzi, 23.

Pasangan itu dinikahkan sendiri wali masing-masing di hadapan Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu Syeikh Ahmad Muzammil Yub.

Sementara itu Muhammad Hanafi Rusmadi, 28, dan pasangannya yang merupakan guru tuisyen Siti Rahayu Omar, 28, dinikahkan Syeikh Ahmad Muzammil.

Bercakap kepada pemberita selepas akad nikah itu, Amiera Solehah berkata, beliau bersama dua abangnya itu bersyukur majlis akad nikah mereka hari ini berjalan lancar, meskipun dalam keadaan sederhana dan ringkas.

“Memang ayah mahukan kami adakan majlis kenduri sekali selepas akad nikah masing-masing yang dijadualkan sebelum ini iaitu saya pada 11 April, abang sulong saya pula pada 28 Mei dan abang kedua saya pada 27 Mei lepas.

“Tetapi disebabkan PKPB ini, majlis kenduri kami yang sepatutnya berlangsung pada 30 Mei lalu, terpaksa dibatalkan dan segala tempahan pelamin serta lembu dibatalkan,” katanya.

Amiera Solehah berkata, majlis kenduri selepas akad nikah itu belum ditetapkan lagi, dengan mereka sekeluarga bergantung kepada keadaan untuk menentukan tarikh bersesuaian bagi membuat majlis itu.

Dalam pada itu, Muhammad Hanafi berkata, beliau berpendapat bahawa melangsungkan pernikahan ketika PKPB ini ia lebih mudah, ringkas, dan menjimatkan kos.

Muhammad Hanafi berkata, tarikh asal beliau dan Siti Rahayu sepatutnya bernikah adalah pada 1 Jun lepas, namun pihak pejabat agama daerah menetapkan tarikh akad nikah hari ini.

“Segala perancangan untuk majlis kenduri kami terpaksa dibatalkan, dan mungkin selepas ini kami buat kenduri secara kecil-kecilan, dan sederhana sahaja,” katanya.

Sementara itu Syeikh Ahmad Muzammil berkata, hampir 100 pasangan telah dinikahkan pihaknya sepanjang tempoh PKP dan PKPB ini dengan satu lagi majlis akad nikah di pejabat agama berkenaan pada 9 Jun ini.

Sumber: Bernama

Nur Syafiqah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.