Siakap Keli
posmen part time sementara
Kredit: Bernama

“Hantar 60 Hingga 100 Bungkusan Sehari”, Lelaki Kongsi Pengalaman Buat Sambilan Jadi Posmen

ALOR SETAR, 4 Jun (Bernama) — Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, golongan yang terjejas pendapatan rata-ratanya terdiri daripada mereka yang bekerja sendiri.

Bagi jurugambar sukan bebas, Khairil Ajhar, 43, situasi itu bagaimanapun tidak memberi ‘lesen’ untuknya terus ‘goyang kaki’ dan menunggu bantuan daripada mana-mana pihak semata-mata. Sebaliknya dia mencari peluang di sebalik musibah itu untuk mencari sumber rezeki lain.

“Saya jadi ‘posmen’ sementara. Masa PKP dan PKPB ini kan kita semua tahu, banyak bungkusan dan penghantaran yang terpaksa dibuat Pos Laju sebab ramai orang beli secara dalam talian, tambahan pula pada masa itu dekat nak raya, macam-macam barang mereka beli.

“Saya dapat maklumat mengenai peluang jadi ‘owner-operator’ Pos Laju (ejen serahan item Pos Laju) secara sementara daripada kumpulan WhatsApp dan terus ke pejabat pos di Alor Setar untuk dapatkan maklumat mengenai kerja ini pada awal Mei lepas,” katanya kepada Bernama di sini.

Khairil berkata, setiap ejen yang menggunakan kenderaan sendiri diberi zon bagi memudahkan proses penghantaran seperti kawasan taman perumahan serta premis pejabat dan barangan yang dibawa bermula daripada bungkusan kecil hingga ada yang mencecah hampir 10 kilogram.

posmen sementara
Kredit: Bernama

Penghantaran cecah 60 hingga 100 bungkusan sehari

“Masa Ramadan lepas cukup kritikal sebab penghantaran cecah antara 60 hingga 100 bungkusan sehari, mungkin pembelian baju raya, kuih dan peralatan lain untuk sambutan raya,” katanya sambil berkata pendapatan yang diperoleh sedikit sebanyak membantunya menambah duit poket yang susut akibat kurang projek fotografi.

Rakannya yang turut mengambil peluang sama, Ahmad Syarafi Abd Wahab, 30, berkata dia menjadi ejen Pos Laju bagi mengisi masa lapang untuk menambah pendapatan harian yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Sebelum ini saya buat kerja macam-macam antaranya jadi jurufoto perkahwinan dan sebarang acara dan sejak PKP dan PKPB ni tak ada kerja, jadi saya jadilah ‘posmen’, dapat juga duit,” katanya.

Selain itu mereka juga melakukan kerja sampingan lain seperti menjadi penghantar barangan runcit untuk pelanggan di sekitar bandaraya ini dan berniaga pelbagai barang secara kecil-kecilan secara dalam talian.

Difahamkan di Alor Setar sahaja terdapat kira-kira 25 orang ejen serahan item Pos Laju yang terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya penganggur, cikgu tuisyen dan pekerja swasta yang terkesan dengan PKP dan PKPB.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.