Siakap Keli

Kanak Kanak 11 Tahun Ditemukan Terapung Di Tali Air

KUANTAN, 9 Jun – Mayat seorang kanak-kanak berusia 11 tahun ditemukan terapung, dipercayai lemas semasa mandi di tali air di Kampung Marhum, Pekan dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Razli Mohd Yusof berkata, mayat Muhammad Imanudin Mohd Jasmanizam ditemukan pada 8.35 malam, oleh pasukan bomba yang menerima laporan kehilangan mangsa kira-kira satu jam sebelum itu.

“Siasatan awal mendapati mangsa pergi ke tali air itu bersama dua lagi rakannya untuk mandi, sekitar jam 5 petang sebelum disedari hilang.

“Penduduk kampung yang mula mencari mangsa selepas dimaklumkan mengenai kejadian, menemui baju dan selipar mangsa berhampiran tali air itu lalu menghubungi bomba,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Mayat mangsa yang merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik, dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang