Siakap Keli
Gambar: Bernama

Perlis Pertingkat Jumlah Jemaah Solat Jumaat Dan Solat Lima Waktu

Kangar: Perlis mempertingkatkan jumlah jemaah solat jumaat dan solat lima waktu kepada bilangan maksimum berdasarkan keluasan masjid masing-masing, mengambil kira pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) dan jarakan dua meter antara jemaah.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, jumlah maksimum jemaah berkenaan adalah seperti yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), melalui hebahan yang bakal dibuat kemudian.

Baginda bertitah, perintah berkenaan dikeluarkan selepas mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, yang sentiasa melihat dengan penuh perhatian, mendengar dengan penuh cermat, dan berfikir dengan penuh hikmah dan fatan, sebelum menzahirkan sesuatu titah untuk dilaksanakan oleh sekalian rakyat jelata.

”Mekanisma pemilihan jemaah akan ditentukan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid, dengan mengambil kira lokaliti setempat dalam sesuatu kariah, jemaah yang tidak terpilih perlu akur kepada pemilihan yang dilaksanakan menurut kaedah yang diputuskan,” titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Titah baginda, demi menjaga kemaslahatan dan keselamatan bersama, kelayakan jemaah yang dibenarkan hadir setelah dipilih hendaklah melengkapi syarat, iaitu berusia antara 18 hingga 59 tahun.

”Jemaah tidak mempunyai gejala seperti demam, sesak pernafasan, sakit tekak dan selsema, tidak mempunyai sejarah masalah kesihatan serius lain yang berisiko seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah, dan sebagainya,” titah  baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, pelaksanaan aktiviti lain seperti ceramah dan kuliah, masih belum dapat dibenarkan buat masa ini.

”Walaubagaimanapun kelonggaran secara berperingkat akan dihebahkan. Buat masa ini, siri kuliah, ceramah dan forum agama disiarkan secara dalam talian, antaranya melalui program ‘Perlis Mengaji’,” titah baginda.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.