Siakap Keli

Sindiket Seludup PATI, 547 Dalang Ditahan & Ada Anggota Penguatkuasa Disyaki Turut Terlibat – PDRM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) — Sebanyak 547 tangkapan melibatkan anggota sindiket penyeludupan migran dibuat oleh polis bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata kesemua tangkapan itu dibuat menerusi tiga fasa sebelum bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Daripada jumlah itu,  52 tangkapan dibuat pada fasa pertama bermula 1 Jan hingga 17 Mac dengan 32 kertas siasatan dibuka di bawah penyeludupan migran, manakala bagi fasa kedua dari 18 Mac hingga 3 Jun, seramai 124 orang ditahan dengan 33 kertas siasatan dibuka di bawah penyeludupan migran,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini hari ini.

Huzir berkata bagi fasa ketiga, iaitu ketika pelancaran Op COVID-19 Benteng semasa tempoh PKP pula, seramai 371 orang ditahan dalam tempoh empat hari sahaja bermula 4 hingga 7 Jun.

“Pada fasa tiga ini sebanyak empat kertas siasatan di bawah jenayah terancang dibuka membabitkan kes di Pulau Pinang, Perak, Selangor serta Johor selain lima kertas siasatan dibuka membabitkan penyeludupan migran,” katanya.

Gambar: BERNAMA

Selain itu, Huzir berkata tangkapan pada 8 Jun lepas melibatkan 269 pendatang Rohingya di perairan Langkawi dan 21 daripada mereka merupakan ahli sindiket.

Huzir berkata kesemua tangkapan dalam ketiga-tiga fasa itu didapati menganggotai dan terlibat secara langsung dalam rangkaian sindiket penyeludupan migran berkenaan, membabitkan warga tempatan dan asing.

“Dalam kalangan mereka ini, ada antaranya bertindak sebagai ejen, ketua sindiket, tekong darat, tekong laut selain penglibatan anggota penguat kuasa dalam rangkaian ini.

Katanya PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap kesemua mereka yang ditahan dan mereka akan disiasat di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan kerana menggangotai kumpulan jenayah terancang.

“Mereka juga boleh ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak membolehkan sebarang ikat jamin,” katanya.

Beliau berkata PDRM turut akan melihat kepada kewajaran sindiket-sindeket ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLATFAPUAA) bagi mengenal pasti perolehan haram serta harta-harta yang dimiliki oleh ahli-ahli sindiket ini.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.