Siakap Keli

Kutipan Zakat Fitrah Wilayah Persekutuan Meningkat Meskipun Ketika PKP

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Jumlah kutipan zakat fitrah di Wilayah Persekutuan tahun ini meningkat kepada RM10.8 juta daripada 1,036,214 orang pembayar berbanding RM9.8 juta tahun lepas walaupun negara menghadapi pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua pegawai eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Akbar Samon dalam  kenyataan media berkata antara faktor peningkatan kutipan di luar jangkaan itu adalah pewujudan lebih banyak saluran pembayaran zakat fitrah dalam talian yang memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab itu.

“Peningkatan juga dilihat disumbangkan daripada penetapan dua kadar zakat fitrah iaitu RM5 dan RM7 yang diperkenalkan buat kali pertama tahun ini di Wilayah Persekutuan.

“Dua kadar ini memberikan pilihan kepada mereka yang kurang berkemampuan khususnya yang mempunyai tanggungan ramai dan terjejas semasa PKP untuk terus menunaikan kewajipan zakat fitrah,” katanya.

Akbar berkata MAIWP akan mengagihkan zakat yang diterima daripada pembayar zakat semaksimum mungkin kepada golongan asnaf.

Katanya sejumlah RM45.07 juta zakat MAIWP telah diagihkan menerusi misi MusaadahCOVID-19 yang digerakkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi membantu mereka yang terjejas akibat penularan COVID-19.

Sumber: Bernama

Nor Azilah