Siakap Keli

TUDM Laksana Penerbangan Ihsan Bawa Pesakit Jantung Ke Sarawak

KUALA LUMPUR, 12 Jun  — Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini melaksanakan penerbangan ihsan, dengan membawa seorang warga emas yang menghidap penyakit jantung menaiki pesawat TUDM dari Pangkalan Udara Subang, dekat sini ke Pangkalan Udara Kuching, Sarawak, bagi mendapatkan rawatan di Pusat Jantung Sarawak.

TUDM dalam kenyataan hari ini berkata, pesakit yang dikenali sebagai Wan Ujang @ Wan Ali Tuanku Sait, 71, itu menaiki pesawat A400M dari No 22 Skuadron.

Pesawat A400M yang diterbangkan oleh Mej Khairul Ikhmal Ishak selaku juruterbang dan Kpt Mohammad Ridhwan Yahaya selaku pembantu juruterbang bersama tiga anak kapal, berlepas dari Pangkalan Udara Subang ke Pangkalan Udara Kuching pada jam 7.32 pagi tadi.

lMenurut kenyataan itu, penerbangan yang mengambil masa selama satu jam 30 minit ini telah selamat mendarat pada 9 pagi tadi.

“Pesakit berkenaan sebelum ini telah mendapat rawatan di Institut Jantung Negara, di sini, dan kini akan mendapatkan rawatan lanjut di Pusat Jantung Sarawak, bagi memudahkan penjagaan oleh keluarga pesakit berkenaan.

“Tanggungjawab sosial dilaksanakan oleh TUDM khusus bagi mereka yang benar-benar memerlukan, semoga dengan usaha murni ini, dapat membantu ke arah memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terus terjaga,” kata kenyataan itu.

Seluruh warga TUDM mendoakan agar pesakit itu diberikan kesembuhan dan kesihatan yang baik.

Sumber: Bernama

Nor Azilah