Siakap Keli

5 Lelaki Warga Bangladesh Ditahan, Disyaki Palsukan Dokumen Keputusan Saringan Covid-19 – Polis KL

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Polis menahan lima lagi lelaki Bangladesh yang disyaki terlibat dengan kegiatan memalsukan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 di Jalan Tengkat Tong Shin, di sini, Selasa, kira-kira empat hari selepas dua lelaki juga dari Bangladesh ditahan atas kesalahan yang sama dalam serbuan di Jalan Alor di sini minggu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata suspek berumur di antara 26-30 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan di sebuah syarikat pembinaan di ibu negara itu ditahan pada pukul 11 malam, dan polis turut merampas antaranya lima telefon bimbit serta satu salinan surat saringan COVID-19.

Beliau turut mengesahkan polis menerima tiga lagi laporan berhubung pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 pada Selasa dan Rabu lepas, yang menyatakan pihak hospital dan makmal di sekitar Kuala Lumpur menerima panggilan serta emel daripada majikan yang ingin mendapatkan pengesahan laporan keputusan ujian saringan COVID-19.

“Setelah semakan dibuat, pihak hospital dan makmal itu mendapati nama pesakit yang dinyatakan dalam laporan itu tidak dapat dikesan dalam rekod berdaftar hospital atau makmal berkenaan. Malah doktor yang membuat saringan tidak bertugas di hospital dan makmal seperti dalam laporan keputusan ujian saringan COVID-19 itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau seterusnya menasihatkan majikan supaya sentiasa membuat semakan keputusan ujian yang diserahkan oleh pekerja, dengan pihak pengeluar laporan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan pemalsuan laporan itu boleh membantu pihak berkuasa dengan menelefon Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.

Sementara itu di REMBAU, polis telah mengenal pasti lokasi pendaratan di sepanjang Sungai Linggi dan Sungai Timun di daerah ini menerusi Ops Benteng di sepanjang 20 kilometer persisiran sungai itu bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin.

“Berdasarkan pemerhatian memang ada aktiviti pendaratan, kami akan menguatkan kekuatan anggota di kawasan itu,” kata Ketua Polis Daerah Rembau DSP Anuar Bakri Abdul Salam ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu diminta menyalurkan maklumat berkenaan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau dengan menelefon 06-6851999.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang