Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Covid-19: Tiga Daripada Lima Pekerja Hilang Pekerjaan Berumur Bawah 40 Tahun

Kuala Lumpur: Tiga daripada lima pekerja yang hilang pekerjaan dalam tempoh beberapa bulan lepas berumur di bawah 40 tahun, dengan kebanyakan mereka daripada sektor tidak formal yang tidak menawarkan sebarang jaringan keselamatan sosial, menurut Pakar Ekonomi DM-Analytic Sdn Bhd Zouhair Rosli.

Beliau berkata kaji selidik mendapati tiga daripada lima pekerja sektor tidak formal berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan dan semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19, sebanyak 50 peratus daripada mereka kehilangan perniagaan.

“Sebanyak 2.5 juta rakyat Malaysia bekerja di sektor tidak formal. Bilangan belia berusia antara 20 hingga 30 tahun yang bekerja di sektor ini meningkat dua kali ganda daripada enam peratus pada 2016 kepada 12 peratus pada 2019, walaupun pekerjaan itu tidak menawarkan pendapatan tetap.

“Mereka yang berjaya mengekalkan pekerjaan melihat pendapatan mereka berkurang 90 peratus. Golongan ini mengakui bahawa mereka tidak mempunyai simpanan yang cukup walaupun untuk bertahan bagi tempoh sebulan,” katanya dalam sesi Webinar Belia mengenai COVID-19: Cabaran dan Survival Golongan Belia, yang dianjurkan sayap belia Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Beliau berkata belia memerlukan intervensi ‘luar biasa’ daripada kerajaan untuk membantu mereka kembali ke landasan, sambil menambah bantuan yang diberikan setakat ini tidak mencukupi bagi mereka yang bekerja sendiri atau diberhentikan.

Zouhair berkata, lebih banyak pekerjaan perlu diwujudkan untuk golongan belia agar mereka selamat dalam tempoh krisis seumpama ini, sambil menambah belia yang bekerja sendiri sepatutnya terus menerima bantuan kerajaan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan sehingga akhir tahun ini.

Sementara itu, wakil Majlis Belia Malaysia, Muhammad Abu Kadir Mubarak Ali berkata, pandemik COVID-19 juga telah berperanan menunjukkan kesan jurang perbezaan digital negara terhadap pelajar daripada keluarga miskin untuk memenuhi keperluan pendidikan dalam talian yang kini telah menjadi normal baharu berikutan sekolah dan institusi pengajian tinggi ditutup sementara.

“Jurang ini begitu ketara dalam kalangan pelajar di sekolah dan kolej. Banyak keluarga, terutama di kawasan luar bandar, tidak mempunyai komputer riba dan berdepan masalah capaian internet yang lemah atau tidak mempunyai internet. Kami mempunyai kes sebuah keluarga yang hanya mempunyai satu komputer riba dengan lima anak yang bersekolah.

“Mereka terpaksa bergilir-gilir menggunakan komputer riba dan ia agak sukar untuk dilaksanakan pada waktu tertentu. Kerajaan perlu beri perhatian kerana jurang perbezaan digital yang besar ini memerlukan tindakan serius. Golongan yang paling terkesan adalah isi rumah daripada kumpulan B40 yang mempunyai keluarga besar,” katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Abu Kadir menekankan perlunya Putrajaya mempercepat pelaksanaan perancangannya untuk menangani cabaran digital yang dihadapi pelajar daripada golongan miskin.

— BERNAMA

Dapatkan kelengkapan elakkan Covid 19 di SINI