Siakap Keli

Arab Saudi Mungkin Mempertimbangkan Batal Haji Tahun Ini, Kali Pertama Dalam Sejarah Moden

Arab Saudi  dilapor mungkin mempertimbangkan untuk membatalkan musim haji tahun ini, pertama kali sejak penubuhan negara itu pada 1932, selepas kes jangkitan pandemik COVID-19 melonjak melebihi 100,000 kes.

“Isu ini telah dikaji dan diteliti, pelbagai senario sedang dipertimbangkan. Keputusan rasmi dari kerajaan akan dibuat dalam masa satu minggu,” kata seorang pegawai kanan Kementerian Haji dan Umrah.

Ibadah tahunan ini merupakan salah satu himpunan keagamaan terbesar dunia, lebih dari 2 juta umat Islam akan berhimpunan di tanah suci Mekah pada setiap tahun.

Namun, selepas banyak acara global ditunda dan dibatalkan seperti Sukan Olimpik di Tokyo kerana pendemik ini, Arab Saudi telah menerima banyak tekanan dan digesa untuk mengambil tindakan segera.

Walaupun Arab Saudi berjaya mengatur ibadah haji semasa wabak virus seperti Ebola dan MERS, tetapi skala penularan wabak virus korona ini memberikan cabaran yang lebih sukar.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini telah mengenakan perintah berkurung kepada rakyatnya selepas kes pertama muncul pada 2 Mac. Namun selepas melonggarkan perintah berkurung pada akhir bulan Mei, jumlah kes harian dan kematian kembali meningkat.

Menurut Woldometer, Arab Saudi setakat ini merekodkan sebanyak 127,541 kes dengan 972 kematian.

Beberapa negara juga telah membuat keputusan tidak menghantar rakyatnya untuk menunaikan ibadah haji termasuk Malaysia dan Indonesia.

Sumber: Financial Times, Gulf News, CNBC, Arabian Bussiness, New York Post, Republika Id

Nur Syafiqah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.