Istilah ke bawah Duli Yang Maha Mulia sering kedengaran dalam upacara-upacara diraja. Ia merupakan istilah yang diguna pakai secara khusus merujuk kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Malaysia.
Mungkin ada antara kita yang tertanya-tanya, apakah sebenarnya maksud Duli Yang Maha Mulia?
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan ‘duli‘ membawa maksud kaki, debu atau abu. Sementara itu, frasa ‘Maha Mulia’ pula merujuk kepada Allah SWT. Justeru, menurut penulis buku Empayar 2, yang popular dengan nama Teme Abdullah, istilah Duli Yang Maha Mulia bukanlah mengagungkan sultan setaraf tuhan, tetapi lebih kepada menggambarkan kedudukan seorang raja di sisi tuhan yang Maha Kuasa.
Paduka bermaksud sepatu
Dalam penceritaan tersebut, Teme turut menjelaskan maksud Seri Paduka Baginda yang sering digandingkan dengan frasa Duli Yang Maha Mulia bagi merujuk kepada sultan.
Menurut Kamus DBP, istilah paduka pula bermaksud alas kaki, kasut atau sepatu. Tambah Teme, ‘Seri Paduka Baginda’ melambangkan pengharapan agar sultan dapat menjadi ‘penyeri sepatu Rasulullah S.A.W’ dengan memerintah secara adil dan saksama.
“Walaupun jauh beza antara seorang sultan dan rasul, dengan keadilan serta kesaksamaan baginda sebagai pemerintah, diharapkan bolehlah sekadar menjadi penyeri kepada capal Rasulullah S.A.W. Itulah yang dinisbahkan kepada capal. Lantas terbitlah gelaran Seri Paduka Baginda.”
Hal ini selaras dengan pesanan Sultan Abdullah kepada anakanda baginda, Tengku Hassalan semasa Istiadat Pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar pada tahun lalu.
“Perlu diingat, bahawa setiap sesuatu kurniaan di muka bumi Allah Subhanahu Wataala, datang bersama-sama dengan tugasan dan amanah yang wajib dijunjung.
“Oleh itu laksanakan tugas dan amanah tersebut dengan penuh ketakwaan. Jangan sekali-kali juga paduka anakanda bersikap riak dan angkuh. Ambillah resmi padi, makin berisi makin menunduk,” titah baginda.
Sumber: Teme Abdullah, Angel