Siakap Keli

Polis Marin Tahan Empat Lelaki, Patahkan Cubaan Seludup Keluar Burung Murai Kampung

MELAKA, 27 Jun  — Polis Marin berjaya menggagalkan cubaan empat lelaki, termasuk tiga warga Indonesia menyeludup keluar burung murai kampung bernilai kira-kira RM500,000 ke negara jiran selepas memeriksa dua bot di sini awal pagi tadi.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (PPM W2) Melaka Supt Noor Azman Jamal berkata suspek berumur antara 43 dan 66 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dilakukan anggota bot ronda PSC 30 dan 37 di perairan Pulau Besar, hasil maklumat dari Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA) Lumut.

Beliau berkata hasil pemeriksaaan yang dijalankan, polis menemui 188 raga, dengan tiap satu diisi dengan burung, dipercayai jenis murai kampung yang dianggarkan bernilai RM500,000.

“Selain itu, turut dirampas adalah dua bot fiber dan tiga unit enjin sangkut digunakan suspek yang dianggarkan bernilai RM137,000. Anggaran jumlah rampasan burung, bot dan enjin bernilai RM637,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noor Azman berkata tangkapan serta rampasan itu di bawa ke Markas Tektikal PPM W2 Melaka untuk proses dokumentasi, dan kes disiasat di bawah Seksyen 13b Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (MAQIS) dan Akta Imigresen 1959/63.

Sumber: BERNAMA

Nurul Najiha