Siakap Keli

Prinsip Rukun Negara Perlu Diamalkan, Dihayati – Belia

SEREMBAN, 29 Jun – Lima prinsip Rukun Negara perlu digenggam kemas setiap lapisan masyarakat kerana ia terbukti menjadi kunci kepada keutuhan perpaduan dan keharmonian antara kaum sejak sekian lama di negara ini.

Itu adalah pandangan beberapa belia dan mereka turut menyifatkan penghayatan terhadap prinsip berkenaan adalah perlu bagi memastikan negara terus makmur, membangun dan berdaya saing serta gemilang di masa hadapan.

Lulusan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Sin Run Hui, 24, berkata setiap rakyat bukan sahaja perlu mengetahui bahkan perlu memahami makna tersurat dan tersirat Rukun Negara kerana ia mewujudkan satu kesedaran kepada rakyat mengenai perpaduan selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Katanya Rukun Negara sangat penting kerana ia merupakan panduan kepada rakyat Malaysia agar membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu, menghormati dan mematuhi undang-undang.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya akan menerapkan amalan serta mematuhi kesemua prinsip dalam Rukun negara. Mengambil contoh prinsip kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan misalnya, saya akan mengelakkan diri menyebarkan berita palsu, fitnah, menyentuh isu sensitif dan buli siber,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Negara akan menyambut ulang tahun ke-50 Rukun Negara bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan 2020, yang dijadual pada 7 Julai ini.

Mengulas lanjut, Sin juga berharap penyebaran berita palsu dewasa ini, dilihat sebagai antara faktor yang akan menjejaskan perpaduan negara, dibendung bukan sahaja menerusi tindakan undang-undang bahkan menerusi amalan dan penghayatan prinsip Rukun Negara.

Rukun Negara mengandungi lima prinsip – Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang; dan Kesopanan Dan Kesusilaan.

Peniaga, Muhammad Fikri Ramlan, 19, berkata Rukun Negara merupakan asas panduan kepada kehidupan rakyat dalam membentuk jati diri yang kukuh.

“Penghayatan prinsip Rukun Negara ini mampu membentuk jiwa bangsa Malaysia yang mempunyai semangat patriotik, bersatu padu dan patuh kepada peraturan ditetapkan,” katanya.

Kru filem, M. Rajasuriah, 32, berkata lima prinsip Rukun Negara pada  pandangannya mampu memupuk semangat cintakan tanah air serta mewujudkan nilai murni dan toleransi yang tinggi dalam kalangan rakyat.

“Ini sangat penting jika kita mahu negara kita kekal aman, makmur dan berjaya menjadi negara maju pada masa akan datang,” katanya yang turut menaruh harapan agar semua masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik bersama-sama berganding bahu memajukan serta melakukan terbaik untuk negara.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.