Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Peniaga Didakwa Hina Sultan Kelantan

Johor Bahru: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, terhadap pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, Disember lepas.

Md Haniff Md Yunos, 41, membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim V. Mabel Sheela.

Mengikut kertas pertuduhan, Md Haniff didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Sultan Kelantan dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di laman Facebook atas nama Haniff Md Haniff Yunos, pada kira-kira 1.13 tengah hari, 14 Dis 2019.

Profil Facebook itu telah dibaca di Jalan Seri Austin Hills 3/10, Taman Seri Austin Hills, di sini, kira-kira 2.20 petang, hari sama.

Bagi perbuatan itu, Md Haniff didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh mencadangkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Mabel Sheela kemudian menetapkan wang jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin selepas mengambil kira rayuan tertuduh yang menanggung keluarga mempunyai lima anak berumur lingkungan tiga hingga 10 tahun dan isteri yang tidak bekerja.

Mabel Sheela turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran tempat tinggal tertuduh pada setiap bulan dan 29 Julai depan untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.