Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri telah mewartakan perintah larangan terhadap buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia,’ yang berkuat kuasa semalam.
Dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 1 Julai, perintah itu dinamakan sebagai Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2020.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin membuat perintah itu mengikut subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan tersebut adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.
Penerbitan buku berbahasa Inggeris itu dikenakan perintah larangan kerana perihalnya mungkin memudaratkan ketenteraman awam, menggemparkan fikiran orang ramai, berlawanan dengan mana-mana undang-undang serta memudaratkan kepentingan dan keselamatan negara.
Buku yang disunting Kean Wong dan diterbitkan Strategic Information and Research Development Centre itu mencetuskan kontroversi selepas tular baru-baru ini sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka depan dan dikatakan menghina simbol kedaulatan negara.
— BERNAMA