Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

“Jika Mati Biarlah Berkubur…”, Waris Harap Mangsa Insiden Bot Karam Yang Masih Hilang Ditemukan Segera

BACHOK, 3 Julai (BERNAMA) — Waris kepada dua mangsa yang masih hilang dalam tragedi bot karam di perairan Kemasin di sini Isnin lepas, berharap agar Che Wadi Bakar, 40, dan Amran Ismail, 43, ditemui segera.

Cik Normas Bakar, 35, adik kepada Che Wadi berkata dia dan keluarga reda sekiranya abangnya telah meninggal dunia tetapi tetap berharap agar abangnya yang bekerja sebagai awak-awak bot berkenaan sejak lima tahun lepas, dijumpai.

“Abang pandai berenang dan teliti dalam setiap kerja yang dibuatnya, sebab itu juga kami sekeluarga dalam diam menaruh harapan agar abang selamat…sekiranya ini sudah tersurat (lemas), kami reda…jika mati biarlah berkubur,” katanya yang ditemui di Jeti Pendaratan Ikan Kuala Kemasin di sini hari ini.

Ditanya mengenai perubahan sikap Che Wadi sebelum tragedi berkenaan, Cik Normas berkata abangnya yang masih belum berumah tangga itu kelihatan sangat gembira berbanding sikapnya yang pendiam.

“Kami tidak menyangka keramahannya pagi itu adalah petanda dia akan terlibat dalam tragedi bot karam ini,” katanya.

Gambar: BERNAMA

Sementara itu isteri Arman, Siti Ayu Ishak, 30, berkata sepanjang perkahwinan mereka selama 10 tahun, suaminya merupakan seorang yang baik dan kehidupan mereka penuh kenangan manis.

“Saya reda sekiranya ini (suami meninggal dunia) pengakhiran kepada pernikahan kami. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua anggota penyelamat yang bertungkus-lumus mencari dan menyelamat mangsa,” kata ibu kepada tiga anak berusia tiga hingga sembilan tahun itu.

Dalam kejadian 8.00 malam Isnin lepas itu, 12 pemancing selamat, enam meninggal dunia, manakala dua lagi mangsa masih hilang selepas bot dinaiki mereka terbalik dibadai ribut dan ombak besar di kawasan perairan berhampiran Kuala Kemasin.

Enam mangsa yang sudah ditemukan ialah Mohd Syahrizan Daud, 40-an, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Husin, 60-an, seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an, Ahmad Syafiq Che Alim, 30 dan Harun Daud, 60-an.

Operasi mencari dan menyelamat hari ini yang meliputi kawasan seluas 450 batu nautika ditangguhkan pada pukul 7.00 malam dan akan disambung semula 6.00 pagi esok.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.