Siakap Keli
Gambar: Bernama

Bot Terbalik: Operasi SAR Babitkan Kawasan Melebihi 450 Batu Nautika

Bachok: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menyasarkan kawasan perairan melebihi 450 batu nautika persegi hari ini untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa bot terbalik yang masih hilang di perairan Bachok Isnin lepas.

Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata kawasan pencarian itu berdasarkan petunjuk seorang mangsa yang ditemukan beberapa hari lepas yang menghala ke kawasan perairan Pulau Perhentian.

”Dalam masa sama, bot-bot nelayan Bachok melancarkan gerakan secara sukarela untuk mengesan mangsa meliputi kawasan sempadan perairan Thailand,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kuala Kemasin di sini, hari ini.

Muhd Nur Syam berkata selain itu, kerjasama turut diperoleh daripada nelayan yang menahan pukat berhampiran tempat kejadian untuk mengesan mangsa.

Pelbagai agensi penyelamat termasuk polis, polis marin, anggota Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), nelayan termasuk APMM melancarkan gerakan SAR tetapi masih gagal menemui petunjuk untuk mengesan dua mangsa walaupun operasi SAR memasuki hari ketujuh hari ini.

Beliau berkata keadaan angin kencang dan laut bergelora menyukarkan anggota penyelamat untuk mengesan mangsa walaupun sehingga kini pihaknya sudah menjangkau kawasan pencarian seluas 1,600 batu nautika persegi.

”…SAR perlu diteruskan sehingga kedua-dua mangsa dijumpai sama ada masih hidup atau sebaliknya,” katanya.

Dalam kejadian 8 malam Isnin lepas, enam mangsa ditemukan lemas manakala 12 orang dapat diselamatkan apabila bot mereka yang disertai 20 pemancing dipukul ombak besar yang melanda secara tiba-tiba.

Dua mangsa yang masih hilang ialah Che Wadi Bakar, 40, dan Amran Ismail, 43.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.