Siakap Keli

(Video) Banjir Jepun ‘Mengganas’, Sekurang-Kurangnya 49 Mangsa Dipercayai Terkorban

Petugas keselamatan di Jepun masih meneruskan operasi pencarian mangsa-mangsa tragedi banjir yang melanda teruk akibat hujan lebat di kawasan pulau Kyushu, Jepun.

Menurut rekod, sekurang-kurangnya 49 mangsa disahkan terkorban melibatkan wilayah Kumamoto dan Kagoshima, memetik laporan Japan Times.

Agensi Meteorologi Jepun sebelum ini mengeluarkan amaran pada Sabtu tentang cuaca hujan yang belum pernah terjadi seperti kini, menyeru semua penduduk di Kyushu untuk mengambil langkah berjaga-jaga pada tahap maksimum.

Dilaporkan, sekurang-kurangnya 270,000 orang disuruh berpindah di empat wilayah di seluruh pulau, selain amaran tersebut turut diumumkan bagi penduduk sekitar Fukuoka, Nagasaki dan Saga.

 

Sumber: agensi

Kadar hujan yang turun di perkampungan Kuma di Kumamoto merekodkan kira-kira 83.5 milimeters hanya dalam tempoh satu jam pada Sabtu pagi, manakala di bandar Kanoya, Kagoshima pula mencatatkan 109.5 milimeter sejam pada Isnin, dan ia adalah kadar tertinggi berdasarkan agensi tersebut.

Bagaimanapun, amaran hujan lebat tetap berjalan di beberapa kawasan di Kumamoto dan Kagoshima pada Isnin, dengan lebih banyak limpahan banjir dijangka berlaku.

Sebuah landasan kereta api di Kuma didapati musnah teruk akibat limpahan banjir. Sumber: agensi

Sementara itu, pentadbir di Kumamoto berkata, 16 individu dari sana kini didakwa koma dan berkemungkinan hampir meninggal dunia.

Ia dipercayai berikutan sebuah rumah jagaan warga emas di perkampungan Kuma di sana turut ditenggelami limpahan banjir selepas tebing sungai berdekatannya pecah pada Sabtu lalu.

Pasukan Pertahanan dan Pihak Keselamatan Jepun dilaporkan masih meneruskan operasi pencarian dan penyelamatan di kedua-dua wilayah berkenaan hingga hari ini.

Namun, dengan faktor banjir dan tanah runtuh, ia agak menyukarkan operasi tersebut serta menghalang hubungan dengan ratusan penduduk di kawasan tanah tinggi.

“Disebabkan cuaca hujan yang begitu teruk berlaku, kami terpaksa membatalkan beberapa operasi kecemasan yang melibatkan kapal terbang dan helikopter di zon bahaya,” kata Pegawai Pengurusan Bencana, Tsubasa Miyamoto.

Suasana di sebuah perkampungan di sana, dipercayai kira-kira 20,000 penduduk terkesan dengan tragedi banjir tersebut. Sumber: agensi

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga berkata, lebih 800 individu telah diselamatkan setakat ini oleh pihak kecemasan.

Merujuk rekod Agensi Pengurusan Bencana dan Kebakaran Jepun, seramai 20,000 anggota bomba, 28 unit helikopter, empat unit kapal terbang dan dua unit kapal pencarian sedang dikerah dalam misi menyelamatkan ribuan penduduk di sana semalam.

Maklumat terkini dari semasa ke semasa akan diumumkan pihak kerajaan.

Berikut di bawah adalah rakaman video yang sempat dirakam oleh penduduk di sana.

Sumber: Japan Times, Twitter

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.