Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Denda RM20,000 Kesalahan Laga Ayam, Hadir Ke Tempat Pelagaan Ayam

CHUKAI, 9 Julai (Bernama) — Sebanyak 28 lelaki, masing-masing didenda RM20,000 oleh Mahkamah  Sesyen Kemaman di sini, hari ini selepas mereka mengaku salah terhadap pertuduhan melaga ayam dan hadir ke tempat pelagaan ayam pada Jumaat  lepas.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman denda RM20,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda itu terhadap empat orang lelaki bagi kesalahan melaga ayam di sebuah pondok tidak bernombor di Kemaman pada 12 tengah hari, 3 Julai lepas.

Bagi 24 lagi lelaki termasuk dua bukan warganegara berumur 20 hingga 57 tahun, masing-masing  didenda RM20,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda bagi kesalahan hadir ke tempat pelagaan ayam pada waktu dan di lokasi sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Negeri Terengganu Mohd Shahihan Mohd Tahar manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story