Siakap Keli

(Video) “Ada Juga Yang Gerun Tetapi Tetap Ingin Mencuba,” Roti Canai Ular Dapat Sambutan Ramai

KOTA BHARU, 9 Julai – Keunikan seorang pengusaha roti canai mencipta roti canai berbentuk ular, membuka ‘pintu rezeki’ berganda baginya apabila roti canai yang unik itu kini mendapat sambutan ramai.

Che Harun Ali, 46, dari Kampung Kubur Kuda di sini berkata, idea mencipta roti canai ular itu timbul selepas beliau sekadar mencubanya secara suka-suka untuk dimakan sendiri, sebelum mula memperkenalkannya kepada pelanggan sejak setahun lalu.

“Pada awalnya, saya hanya mencuba sekadar suka-suka untuk dimakan sendiri, namun tidak menyangka ketika itu ia dilihat seorang pelanggan dan terus meminta untuk membuat kepadanya juga.

“Daripada situ saya terdetik untuk menjadikan roti canai berbentuk ular ini sebagai menu pilihan pelanggan di kedai, dan sehingga ke hari ini ia semakin mendapat permintaan ramai dalam kalangan pelanggan,” katanya ketika ditemui pemberita di kedai miliknya di Kampung Kubur Kuda di sini, hari ini.

Che Harun yang berpengalaman lebih 30 tahun berniaga roti canai berkata, pelanggan mempunyai beberapa pilihan roti canai ular termasuk perisa milo, nestum, milo dan keju, serta planta dan susu, yang dijual pada harga RM1.20 hingga RM3 sebiji.

“Selain roti canai ular, pelanggan turut mempunyai pilihan lain antaranya roti hamlet, roti tisu, roti pisang dan saya akan menyediakan hampir sepuluh kilogram (kg) adunan roti canai setiap hari, untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Malah, tidak dinafikan ada di antara pelanggan yang merasa geli dan gerun untuk memakan roti canai berbentuk ular ini, namun mereka masih tetap mempunyai pilihan lain.

“Ada juga di antara mereka yang gerun namun tetap ingin mencuba kerana merasakan ia unik dan tidak pernah ditemukan di tempat lain,” katanya yang turut dibantu isteri Nor Azlina Husin, 39, dan kedainya dibuka setiap hari bermula 8 pagi hingga 11 malam.

Sementara itu, seorang pelanggan, Afdalila Abas, 34, dari Kubang Kerian berkata, beliau sekeluarga terdetik untuk mencuba roti canai ular tersebut selepas ia tular di laman media sosial dan mengakui ia satu idea yang kreatif.

“Pada awalnya ada perasaan gerun untuk memakan roti canai berbentuk ular ini, namun selepas mencuba menikmati roti canai ular ini, perasaan itu terus hilang kerana ia sangat sedap dan rangup,” katanya.

Terdahulu, roti canai ular yang dihasilkan oleh Che Harun tular di laman media sosial serta aplikasi WhatsApp, dan mendapat perkongsian ramai.

Roti canai ular, macam sedap jer😊

Roti canai ular, macam sedap jer😊Like: HippoHepi 2.0

Posted by HippoHepi 2.0 on Wednesday, July 8, 2020

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Tambah komen

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.