Siakap Keli

Sering Bergaduh, Kisah Pasangan ‘Berpakat’ Ingat Kematian Elak Bercerai Didedahkan Peguam

Pertelingkahan suami isteri dalam kehidupan berumah tangga adalah sesuatu yang normal.

Biasanya orang akan kata, lima tahun pertama di alam perkahwinan adalah satu tempoh yang cukup mencabar, selain ia adalah fasa kita mengenali pasangan dengan lebih dalam.

Namun tidak dapat tidak, sebagai manusia, kita tidak akan lari daripada kesilapan.

Meskipun ‘berlayar’ dalam satu kapal yang sama, namun apabila berlaku ‘silang angin’, mesti akan membawa kepada salah faham.

Lebih parah lagi, akibat tidak mampu mengawal rasa marah dan ego, salah faham yang sedikit itu membawa kepada mudarat yang lebih besar hinggalah ke penceraian.

Bagaimanapun, seorang peguam, Nor Zabetha baru-baru ini berkongsi satu cerita tentang sepasang suami isteri yang berjaya ‘survive’ persengketaan mereka dengan cara paling baik, iaitu dengan mengingati mati.

Mari ikuti kisah ini.

Gambar sekadar hiasan.

Kes Pertelingkahan & Penceraian

Saya kadang-kadang ada dirujuk dengan kes pertelingkahan suami isteri. Mereka ingin tahu hak dan prosedur. Banyak selalunya. Memang benar statistik kes cerai di mahkamah selalu tinggi.

Kadangkala saya pun sendiri letih hendak bertanya punca. Saya teruskan dengan memberitahu hak dan prosedur sebab kalau bertanya punca kes orang berbeza-beza. Kadangkala jika membantu fakta kes sahaja saya tanya.

Masa awal-awal dahulu, saya ada bertanya punca. Manalah tahu ada ruang hendak menasihati untuk menyelamatkan perkahwinan mereka ini tetapi lama-kelamaan, bercampur aduk kes cerai dan sivil dan dihujani dengan pelbagai kisah-kisah masalah. Saya jarang bertanya. Hal kau laki bini.

Cuma rata-rata, punca jadi gaduh adalah sikap tiada toleransi, tidak mahu mengalah, tidak menghargai. Dari sikit-sikit sikap begini dalam kalangan pasangan, tidak dibendung hingga jadi berulat. Bila berulat memang sudah tidak boleh dibaiki. Bagai retak menanti belah.

Tiada toleransi dan tidak menghargai. Memang payah. Lama-lama kau menyampah hendak lihat muka masing-masing. Itu yang rasa panas hidup sebumbung. Itu yang mula pasang luar sana sini.

Cara ‘Rare’ Elak Bergaduh

Saya teringat seorang rakan. Dia antara yang berkahwin awal dahulu. Karakternya ini, boleh tahan pemarah dan kasar. Kalau masa muda dulu rakan-rakan sekeliling pun dia bagi sahaja butir-butir kata pedas. Siapa yang tidak terasa.

Siapa sangka dia berjaya mempertahankan perkahwinannya sehingga kini. Seorang suami dan bapa yang penyayang. Benar-benar dia berubah sikap. Pernah dahulu sekali saya tanya, bagaimana dia berubah.

Sebab kami kawan-kawan juga rasa ajaib, selama ini perkahwinannya. Kalau dahulu bertukar-tukar kekasih kerana tidak tahan dengan sikapnya.

Jawabnya “Rahsianya mati”. Dia terangkan lagi, katanya kita ini selalu gagal menghargai kerana fikir umur kita panjang, anak isteri ini selalu ada dekat sisi tetapi kita lupa bahawa ajal maut itu bukan di tangan kita.

Gambar sekadar hiasan.

Katanya lagi,

“Kadang-kadang kita marah, stress ditempat kerja. Kita hendak lepas, kita balik rumah. Anak bini jadi tempat lepas marah. Sebab kita fikir alah, nanti dah reda mintalah maaf atau mereka ini keluarga, tak mungkin kecik hati. Masa yang akan selesaikan,”

“Tapi ada satu hari aku tengok, berita kemalangan. Satu keluarga kemalangan, tinggal ibu bapanya saja yang hidup. Sekelip mata Allah tarik nyawa anak-anak yang mak bapak besarkan. Sekelip mata je hilang semua,”

“Aku selalu fikir macam mana kalau, aku marah-marah isteri aku. Dia pergi pejabat tiba-tiba kemalangan. Dia meninggal. Tak sempat aku minta maaf. Tak sempat aku nak betulkan silap aku. Hiduplah aku rasa ralat seumur hidup. Tak sanggup aku hidup macam tu,”

“Jadi setiap hari aku selalu fikir, bukan sahaja buat ibadah macam kita macam mati esok tetapi hubungan dengan isteri, anak, mak ayah kita. Macam kita mati esok. Berat rasanya hidup dalam rasa penyesalan,”

“Kalau aku ada berbalah sikit dengan isteri, aku fikir, manalah tahu ini perbalahan terakhir. Aku selalu pastikan kami selesaikan sebelum isteri aku atau aku pergi kerja. Manalah tahu salah seorang tak balik dan itu adalah perjalanan terakhir. Itulah kenangan akhir. Tak sanggup aku,”

“Kalau aku terkasar dengan mak abah aku, aku minta maaf. Manalah tahu itu kali terakhir aku dengan mereka. Tak sempat aku minta maaf. Kalau mati dulu, kenangan akhir aku dengan mak abah aku adalah aku sebagai anak derhaka. Aku tak nak mereka aku kenang begitu.”

Kerana rasa takut kehilangan, dia benar-benar berubah. Dia menghargai. Kita selalu gagal menghargai yang di sekeliling sebab itulah kita tidak bersyukur.

Begitulah cerita rakan saya panjang lebar. Hanya dengan satu ingatan ‘Mati’, berjaya merubah dia menjadi insan yang sangat penyayang dan jenis yang menghargai.

Semoga kisahnya menjadi pedoman kepada kita bahawa hidup ini tidak selama-lamanya dan hargai mereka sementara hidup ini.

Oleh Nor Zabetha

Sumber: Nor Zabetha

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.