Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Bekas Jurufoto Bernama Meninggal Dunia

ALOR SETAR, 22 Julai — Bekas jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) , Mohd Mansor Mohd Bahrom, 67, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, akibat pendarahan dalaman dan kegagalan organ, semalam.

Isteri arwah, Rosmini Jaafar, 66, berkata Allahyarham yang turut mempunyai penyakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi dimasukkan ke HSB, Khamis lalu, selepas hampir seminggu berada dalam keadaan tidak sihat.

“Dalam tempoh seminggu ini arwah ada mengalami cirit-birit dan selepas ia berlanjutan, dia dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans. Sejak dimasukkan ke hospital dia berada dalam keadaan separuh kritikal sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.30 tengah hari semalam.

“Jenazah arwah dimandikan di hospital sebelum disolatkan di Surau Taman Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Bukhari pada jam 6 petang,” katanya kepada Bernama, ketika ditemui di rumahnya di Taman Aman, di sini, hari ini.

Rosmini, yang merupakan isteri kedua arwah, berkata anak lelaki arwah berusia 42 tahun dan anak perempuannya berusia 40 tahun (hasil perkahwinan dengan isteri pertama yang meninggal dunia) yang menetap di Kuala Lumpur sempat pulang untuk berada di samping arwah.

“Arwah mula bekerja di Bernama pada tahun 1973 sebagai penghantar surat sebelum memulakan tugas sebagai jurufoto di ibu pejabat Bernama. Selepas lebih 30 tahun bertugas sebagai jurufoto, dia telah berpencen awal pada 2003.

“Selepas bersara, arwah buka perniagaan kedai foto untuk merakamkan gambar perkahwinan di Shahab Perdana pada 2005 namun hanya mampu beroperasi selama empat tahun kerana arwah tidak berapa sihat.

“Sepanjang menjalankan perniagaan itu, dia banyak mengajar anak-anak muda yang berminat untuk mempelajari ilmu fotografi ,” katanya.

Beliau berkata walaupun sedih dengan pemergian arwah, hidup perlu diteruskan dan mereka sepatutnya menyambut ulang tahun perkahwinan ke-22 tahun, Sabtu ini.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.