Siakap Keli

Pengasuh Didakwa Cuai Hingga Sebabkan Kematian Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR, 24 Julai — Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua tuduhan bertindak cuai sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun dan menjalankan taman asuhan kanak-kanak yang tidak berdaftar, tahun lepas.

Zainuhar Che Kar, 46, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, Zainuhar didakwa bertindak cuai menyebabkan Aspyxia (sesak nafas) sehingga mengakibatkan kematian mangsa di Fasa 10, Jalan Prensint 9, Putrajaya, antara pukul 7.20 pagi hingga 10.10 pagi, pada 14 Oktober 2019.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zainuhar turut dituduh menjalankan taman asuhan kanak-kanak yang tidak didaftarkan di bawah peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 mengikut Seksyen 6(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, tertuduh boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun dan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang rendah dengan alasan mempunyai anak yang masih belajar dan berpendapatan RM1,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di Balai Polis Putrajaya setiap bulan dan menetapkan 25 Ogos untuk sebutan semula kes.

Sumber: Bernama

Nor Azilah