Siakap Keli
Gambar: Google

Singapura Rekod 277 Kes Baharu Covid-19, Keseluruhan Kes Cecah 49,375 Kes

Singapura: Singapura merekodkan 277 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan majoriti daripadanya masih pekerja asing yang tinggal di asrama, menurut data ringkas setakat 12 tengah hari yang dikeluarkan di sini hari ini.

Dengan angka terbaharu ini, jumlah kumulatif jangkitan COVID-19 mencecah 49,375 kes.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) berkata berdasarkan siasatannya setakat ini, terdapat lima kes dalam komuniti dengan dua daripadanya adalah rakyat Singapura atau pemastautin tetap dan tiga pemegang pas kerja.

MOH juga berkata ada dua kes import yang dikenakan Notis Duduk Dirumah sebaik sahaja tiba di Singapura.

Dalam data lengkap yag dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 659 kes sebagai kes import, 2,155 kes komuniti dan 46,284 penghuni asrama.

Selain itu, 45,015 atau kira-kira 92 peratus daripada jumlah keseluruhan kes sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan didiscaj daripada hospital atau pusat penjagaan komuniti.

Setakat 12 tengah hari semalam, 137 kes disahkan masih lagi berada di hospital dan kebanyakan daripada mereka dalam keadaan stabil atau beransur pulih serta tiada kes ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sejumlah 3,919 pesakit yang bergejala atau sihat secara klinikal tetapi masih positif dalam saringan COVID-19 telah diasingkan dan dijaga di pusat penjagaan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di sini.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.