Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Ingkar SOP PKPP: Lapan Pelanggan Dan Lapan Premis Masing-Masing Dikompaun RM1,000

George Town: Polis mengeluarkan 16 kompaun ke atas premis dan pelanggan yang didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi membendung penularan wabak COVID-19, dalam pemeriksaan sekitar daerah Timur Laut, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata, dalam operasi bermula pukul 12 tengah hari itu, sebanyak lapan daripada kompaun dikeluarkan kepada pelanggan, kerana tidak mengamalkan jarakan sosial, manakala lapan lagi kepada pemilik premis.

”Sebanyak empat premis dikompaun berikutan tiada buku pendaftaran dan tidak mengambil suhu pelanggan serta  tidak menyediakan cecair pembasmi kuman, manakala masing-masing dua premis tidak mengamalkan jarakan sosial dan membabitkan perniagaan salun yang tidak patuh SOP pemakaian,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, premis dan pelanggan tersebut dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang, dan perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh 14 hari, bagi mengelakkan daripada diambil tindakan seterusnya.

Menurut Soffian, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 129 premis dan seramai 109 anggota polis  daripada 20 pasukan pematuhan, dibantu penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), terlibat dalam operasi tersebut.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.