Siakap Keli
Gambar: Bernama

Bekas Petugas Kesihatan Positif Covid-19 Dan Keluarga Bimbang Berhari Raya Dengan Stigma

KUALA LUMPUR (Bernama) — Hari Raya Aidiladha tahun ini nampaknya akan sepi dan suram bagi Hisyamuddin Musni dan ibunya.

Sejak pulang dari hospital setelah pulih menjalani rawatan COVID-19 pada bulan lepas, mereka disisih oleh jiran-jirannya.

Lagipun, Hisyamuddin, yang lebih dikenali sebagai Syam dalam kalangan rakan dan keluarganya, adalah seorang pekerja penjagaan kesihatan iaitu seorang ahli fisioterapi di sebuah rumah kebajikan orang tua, yang mengalami jangkitan pada bulan Mei dan Jun. Sudah tentu orang tidak akan mengasingkan beliau  dan keluarganya kerana bertugas semasa wabak dan jatuh sakit, pada pandangan beliau.

Pada mulanya memang tidak ketara. Namun ia bermula dengan rungutan mengenai mereka dalam kalangan penduduk kampung, menurut ibunya.

Kemudian, Hisyamuddin menyedari orang ramai merungut dan menjauhinya. Ada yang membuat teguran jika melihatnya di pasar raya. Beliau berkata, mereka juga tidak akan menegur ketika melewatinya di jalan-jalan sempit di kampung.

Kini, setelah hampir sebulan selepas dibenarkan pulang, keadaan menjadi lebih buruk, hinggakan beliau tertanya-tanya sama ada kampung itu akan mengira keluarganya dalam senarai apabila mereka mengagihkan daging Kurban semasa sambutan Aidiladha.

“Biasanya, kami dapat korban. Tapi tahun ni, tengoklah, kalau dapat ke tak. Kalau sisih atau pulau,” katanya kepada Bernama.

 

 TINDAK BALAS LAZIM

Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia Ariffin Mamat, boleh dikaitkan dengan pengalaman Hisyamuddin. Walaupun beliau tidak disisih oleh jiran-jirannya di Kuala Lumpur ketika beliau positif COVID-19 pada bulan Mac, namun berbeza bagi ibu mertuanya. Ibu mertuanya sedang berkunjung ke Kuala Lumpur apabila keputusan ujian beliau diperoleh.

“Bila balik Melaka, walaupun dia negatif dan uzur sebab sakit tua. Jiran-jirannya masih tak melawat sebab takut kena COVID,” kata Ariffin.

Ketua kampung tempat tinggal Hisyamuddin, Norhizam Jani, berkata, pemulauan itu adalah reaksi lazim daripada penduduk kampung seperti mana beliau saksikan yang berlaku kepada sepupunya sendiri yang berkahwin dengan seorang yang mempunyai saudara yang dijangkiti COVID-19.

“Biasalah, orang kampung. Walaupun takde kaitan, ipar sendiri pun terkena. Kawan-kawan minum disisihkan. Meskipun tidak ada perhubungan rapat, malah mertua pesakit terjejas,” katanya.

Bekas presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Milton Lum berkata, stigmatisasi dan pemulauan yang berpunca dari penyakit berjangkit adalah lumrah dan tidak selalu membataskannya kepada masyarakat kecil atau luar bandar.

“Dalam perawatan kesihatan, selalu ada kecenderungan untuk menstigmatisasi pesakit, sama ada ia oleh keluarga atau rakan pesakit, dan dalam beberapa keadaan, oleh profesional perawatan kesihatan,” katanya. “Ini bukanlah sesuatu yang biasa hanya kerana ada kekurangan pengetahuan mengenai keadaan ini.

Meskipun Hisyamuddin adalah pekerja kesihatan tidak bermaksud beliau akan terkecuali daripada stigma yang disebabkan oleh penyakit yang kadang-kadang membawa maut, demikian menurut psikologi dan kaunselor di Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Azniza Ishak. Ini berlaku walaupun terdapat semua pesanan yang dikeluarkan pemerintah dan pelbagai kumpulan mengucap terima kasih kepada pekerja kesihatan atas pengorbanan mereka.

 

PERSEPSI BERBEZA

Azniza berkata, orang akan menjadi lebih marah jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan kembali kerana semasa PKP sebelumnya ramai orang Malaysia melaporkan merasa tertekan dan cemas.

“Sekiranya ada yang bertentangan dengan rutin mereka dan mereka harus mengulangi sesuatu yang ingin mereka hindari, mereka akan marah dan mencari seseorang untuk disalahkan,” katanya. Beliau juga menyatakan bahawa akal manusia akan mencari sasaran yang mudah untuk meletakkan kesalahan, walaupun alasannya tidak rasional.

Dr Lum bersetuju.

“Orang yang berbeza mempunyai persepsi yang berbeza terhadap kesihatan dan penyakit. Ini disebabkan oleh latar belakang agama, budaya dan pendidikan mereka yang berbeza. Sebilangan orang memandang penyakit berjangkit tertentu sebagai hukuman atas kesalahan yang telah anda lakukan,” katanya.

Bagi menghindari ketakutan dan kesalahfahaman yang memicu stigma, banyak yang meminta lebih banyak pesanan yang berfokus pada sokongan kesihatan mental untuk pesakit dan pendidikan untuk masyarakat, serta kumpulan sokongan untuk pesakit, mangsa dan keluarga mereka.

 

KUMPULAN SOKONGAN

Antaranya ialah kumpulan sokongan peribadi untuk pesakit COVID-19  semasa dan bekas dan keluarga mereka di Facebook yang dipanggil Safe Space COVID-19 Malaysia. Dibentuk pada 31 Mac, kumpulan ini berharap “dapat mempertikaikan stigma terhadap pesakit COVID-19”.

Ahli dikehendaki mempunyai akaun Facebook untuk mengakses perkhidmatan dan bahannya. MERCY Malaysia juga mempunyai beberapa program yang menawarkan sokongan psikologi dan emosi di Facebook dan melalui talian bantuan di 032935 9935, walaupun perkhidmatan ini bukan hanya untuk mereka yang terkena penyakit secara langsung.

Bagi mereka yang tidak mempunyai akses dalam talian, ada buku, seperti yang diterbitkan sendiri oleh Ariffin. Beliau memberitahu Bernama bahawa itu adalah koleksi tulisannya ketika beliau mengumumkan dirinya dengan status COVID-19 yang positif.

“Saya pergi ke hadapan umum untuk memecahkan stigma,” katanya dan menambah bahawa beliau memasukkan maklumat dan nasihat yang relevan mengenai cara mencegah dan menangani COVID-19.

Bagi Norhizam, yang dapat beliau lakukan sekarang adalah menasihati Hisyamuddin dan keluarganya agar bersabar dengan menyatakan penduduk kampung akan segera menyesuaikan diri ketika mereka mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit ini. Beliau juga menyatakan Hisyamuddin tidak perlu bimbang menerima bahagian daging korbannya.

“Semua akan mendapat bahagiannya. Kita tidak terlalu melampau sehingga kita akan mengabaikan keluarga COVID-19,” katanya.

 

(Diterjemah dan disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani)

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right