Siakap Keli

Masih Ramai Balut Makanan Dengan Surat Khabar, Ini Bahaya Dakwat & Logam Berat Ramai Tak Sedar

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Membungkus makanan menggunakan kertas surat khabar adalah satu kebiasaan yang diamalkan oleh rata-rata masyarakat sejak dahulu.

Terdapat pelbagai jenis makanan yang dibungkus dengan kaedah tersebut seperti nasi lemak, nasi kandar, roti john, apam balik dan sebagainya.

Malah surat khabar juga turut dijadikan alas pelapik untuk menyerap minyak makanan baru lepas digoreng, contohnya pisang goreng.

Namun, adakah anda tahu, sebenarnya penggunaan surat khabar untuk makanan ada kesan sampingan yang boleh memudaratkan kesihatan manusia.

Ikuti penjelasan oleh Sazly tulih yang dikongsikan semula melalui halaman Facebook Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan, JKWPKL&P di bawah ini.

Gambar: Sazly tulih

Surat Khabar dan Makanan

Masih terdapat pengendali makanan menggunakan kertas surat khabar yang bersentuhan secara langsung dengan makanan sedia dimakan seperti untuk membungkus makanan, menutup makanan atau untuk menyerap minyak daripada makanan.

Terdapat beberapa isu keselamatan makanan apabila kita menggunakan kertas surat khabar sebagai pembungkus makanan mahupun ia sebagai lapisan kedua.

Walaupun sebagai pembalut kedua, pencemaran silang boleh berlaku melalui tangan pengendali makanan yang telah menyentuh kertas surat khabar terlebih dahulu dan kemudiannya menyentuh makanan sedia dimakan terus.

Ada bahan kimia & pencemaran silang

Surat khabar mengandungi bahan kimia seperti karbon, logam berat dan pelarut.

Apabila minyak yang terkandung di dalam makanan terkena pada surat khabar, minyak itu akan melarutkan dakwat dan menyebabkan pencemaran silang kepada makanan.

Selain dari cemaran kimia, surat khabar terpakai ini mungkin juga tercemar dengan bakteria.

Dari mana surat khabar ini didapati boleh menjadi persoalan. Adakah sebelum ini, surat khabar tersebut pernah dibaca di dalam tandas atau pernah diletakkan di lantai kotor.

Gambar: Sazly tulih

Oleh yang demikian, adalah dinasihatkan kepada peniaga dan pengguna lebih peka dengan pembungkus makanan yang akan digunakan untuk membungkus makanan kita.

Digalakkan penggunaan pembungkus gred makanan supaya kita tidak lagi dicemari oleh cemaran kimia dan juga bakteria.

Di dalam Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, pengendali makanan yang menyediakan, membungkus atau menghidang makanan untuk dijual hendaklah memastikan penyediaan, pembungkusan atau penghidangan makanan adalah bebas daripada apa-apa pencemaran.

Pengendali makanan juga harus memastikan pembungkus makanan menyediakan perlindungan yang secukupnya untuk hasil makanan bagi meminimumkan pencemaran dan mengelakkan kerosakan kepada hasil makanan itu.

Mereka juga harus memastikan bahan pembungkus makanan bukan toksik dan cukup kuat untuk menahan koyak dan bocor. Kegagalan untuk mematuhi peraturan tersebut merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun.

#foodsafetyfirst

Kredit : Sazly tulih

Gambar: Sazly tulih

Sumber: Sazly Tulih melalui Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan, JKWPKL&P

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.