Siakap Keli

Pentingnya Perkataan ‘Segelintir’ Agar Kenyataan Kita Tidak Pukul Rata…- Imam Muda Asyraf

Dalam seharian, tidak dapat tidak kita tak mungkin boleh mengelak daripada berkata sesuatu atau memberi pendapat dalam sebarang isu.

Bagaimanapun, adakalanya kita mungkin ‘terbabas’ sehingga apa yang diungkap boleh mendatangkan rasa kurang senang kepada orang lain ataupun mengguris hati kumpulan tertentu.

Bagaimana untuk mengelak daripada kita ‘terbabas’, tetapi pada masa yang sama bebas mengutarakan pendapat?

Menyentuh perkara berkenaan, sebenarnya ada satu perkara paling penting yang kita kena tahu apabila setiap kali mahu berkata-kata, iaitu perkataan yang diucapkan.

Pendakwah terkenal, Imam Muda Asyraf hari ini berkongsi pandangannya tentang betapa pentingnya pemilihan perkataan yang digunakan agar ia tidak membawa maksud yang salah.

Ikuti perkongsian di laman Facebooknya seperti di bawah ini.

Pepatah Melayu. “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.

Tak dapat kita nafikan, betapa pentingnya menyelit perkataan “segelintir’, ‘sebahagian’, ‘tidak semua’, ‘sesetengah’, dalam ucapan yang kita tujukan kepada sesuatu kelompok.

Walaupun tidak sekelumit pun di dalam hati kita berniat dan bermaksud menyamaratakan kesemuanya. Tetapi itulah permainan kata dan bahasa. Dengan bahasa dan kata, fokus isu boleh berubah.

Dengan melihat isu yang sedang hangat dibincangkan kini. Impak yang amat besar dalam kesalahan pemilihan kalimat.

Tanpa melihat kepada mana-mana pihak. Hanya termenung seketika menilai diri sendiri yang sering berkata-kata.

Saya dengan ini ingin memohon maaf kepada semua pihak seandainya pernah terlepas pandang dalam menyelit istilah ‘segelintir’ dalam mana-mana ceramah ataupun kuliah sehingga dirasakan ianya labelan pukul rata utk semua pihak.

Orang yang banyak bercakap pasti banyak salahnya. Sekian.

Sumber: Imam Muda Asyraf

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.