Siakap Keli
hujan demam
Kredit: Google

Kenapa Anak Selalu Jatuh Sakit Jika Terkena Hujan? Ini Bukan Salah Hujan, Sebaliknya Ada Sebab Lain

Pasti ada antara kita yang pernah dimarahi mak ayah ketika main hujan ketika kecil. Takut demam kata mereka.

Jika diperhatikan, memang ramai kanak-kanak (bahkan orang dewasa) yang mengalami demam dan selesema selepas terkena hujan. Disebabkan itulah kita lazimnya diingatkan agar mandi selepas meredah hujan.

Pun begitu, benarkah hujan menjadi punca demam dan selesema? Atau terdapat faktor lain yang menyebabkan ia berlaku?

Untuk mengetahui lebih lanjut, tak lain tak bukan kita perlulah merujuk kepada ahli yang arif dalam bidang kesihatan. Oleh itu, mari baca penjelasan dari Hello Doktor mengenai perkara ini.

Apa sebenarnya yang menyebabkan anak anda sakit?

Kita mudah untuk menyalahkan hujan berdasarkan kepada logik pemerhatian dan pengalaman sepanjang kita hidup.

Kononnya kebanyakan mereka yang mandi ketika hujan boleh jatuh sakit pada hari berikutnya.

Perkara yang perlu kita faham adalah penyakit tidak berlaku dengan sendirinya.

Ia tidak terjadi hanya kerana kita mengambil keputusan redah hujan untuk pulang ke rumah.

Seperti jangkitan lain, demam dan selesema berlaku disebabkan oleh jangkitan virus atau mikroorganisma berkaitan.

Mandi hujan itu sendiri bukan punca kepada anak anda sakit. Jadi kenapa anak sakit setiap kali dia mandi hujan?

Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan keadaan tersebut berlaku, namun kuncinya terletak pada sistem pertahanan badan mereka.

Ada kanak kanak yang mempunyai sistem imun rendah disebabkan oleh faktor berikut:

  • Sering makan makanan tidak seimbang.
  • Stres.
  • Tidur tidak cukup.
  • Tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal.

Namun, apabila meningkat usia mereka, sistem imun kanak kanak akan menjadi kuat.

Dalam proses untuk menjadi kuat, memang lazim mereka akan jatuh sakit disebabkan oleh jangkitan.

Mandi hujan dan bagaimana ia melemahkan sistem pertahanan badan

Walaupun kini anda sudah tahu hujan tidak menyebabkan anak anda sakit, tapi ada faktor yang memudahkan penyebaran virus ketika hujan.

Cuaca sejuk sering dikaitkan dengan keadaan kondusif untuk virus selesema merebak.

Oleh sebab cuaca sejuk sering mengiringi hujan, mereka yang mandi hujan mudah untuk mendapat jangkitan virus.

Walau bagaimanapun, pada ketika itu, mereka yang tidak mandi hujan turut berisiko.

Kajian pada tahun 2013 oleh sebuah kolej perubatan di Amerika menunjukkan kebolehan virus rhino (virus selesema) untuk mengalami proses replikasi meningkat jika suhu badan lebih rendah daripada 37°C.

Dapatan tersebut turut disokong oleh satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2016 oleh Universiti Oulu di Finland.

Subjek yang terlibat dalam kajian itu mengalami peningkatan risiko jangkitan apabila suhu dan kelembapan diturunkan selama 3 hari.

hujan demam
Gambar hiasan. (Kredit: Pediatric Associates of Franklin)

Virus influenza juga mudah untuk tersebar semasa cuaca sejuk. Kajian menunjukkan suhu ideal untuk ia tersebar adalah dalam lingkungan 5°C.

Berdasarkan kepada kajian tersebut, jelas menunjukkan mandi hujan boleh menyebabkan risiko mendapat jangkitan meningkat, namun, ia berlaku secara tidak langsung.

Oleh sebab itulah anda digalakkan mandi dalam bilik air selepas mandi hujan.

Bukan untuk membersihkan air hujan tersebut tetapi untuk memastikan suhu badan anda ideal untuk melawan virus.

Jika anda pernah mandi selepas terkena hujan, anda mesti perasan, air tersebut lebih suam berbanding dengan air hujan.

Suhu badan memainkan peranan penting bagi mengawal atur sistem keselamatan dalaman daripada ancaman mikroorganisme.

Kenapa hidung saya berair selepas basah dek hujan?

Perkara ini juga berkaitan dengan cuaca sejuk, bukannya hujan seperti yang disangka.

Fenomena ini merupakan interaksi di antara hukum biologi dan fizik bagi mengekalkan keseimbangan persekitaran dalaman (homeostasis).

Anda sudah sedia maklum terdapat perbezaan suhu di dalam dan luar badan ketika cuaca sejuk.

Hidung kita menghasilkan mukus dan lembapan yang banyak ketika cuaca sejuk bagi menghangatkan udara sejuk yang dihirup.

Perkara ini penting memandangkan ia boleh melindungi lapisan permukaan dinding hidung daripada udara sejuk dan kering yang boleh menyebabkan kecederaan.

Selain daripada mekanisme itu, jumlah penghasilan titisan air yang terbentuk juga meningkat kesan daripada proses kondensasi (pemeluwapan).

Pertembungan di antara udara sejuk dan panas di dalam hidung menyebabkan penghasilan cecair yang banyak.

Kesannya, ia menyebabkan hidung anda berair selepas mandi hujan.

Konklusi

Hujan tidak menyebabkan masalah selesema dan demam seperti yang disangka.

Walau bagaimanapun, ia boleh melemahkan sistem imun dan menyebabkan anda mudah mendapat jangkitan virus.

Konsep yang salah ini perlu diperbetulkan agar tiada yang salah faham. Tidak salah jika anak anda nak mandi hujan.

Namun, selepas itu pastikan mereka mandi semula dan kekalkan suhu dalam rumah pada tahap yang ideal.

Jangan pula dipasang pendingin hawa sekuat-kuatnya semasa hujan. Sesiapa pun mudah sakit kalau begitu.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.