Siakap Keli
Kredit: The Dodo

(Video) “Ia Datang & ‘Bersandar’ Pada Saya”, Wanita Kongsi Kisah Jerung Jadi ‘Jinak’ Lepas Bantu Cabut Kail Pada Mulut

Jerung terkenal sebagai haiwan yang ganas dan membahayakan. Pada tahun 2019, seramai 64 individu dilaporkan menjadi mangsa kerakusan haiwan ini melibatkan dua kematian di seluruh dunia.

Biarpun angka itu rendah jika dibandingkan dengan jumlah tahunan pengunjung pantai, pertembungan dengan haiwan ini pastinya ingin dielakkan oleh sesiapa sahaja.

Namun, berbeza dengan Cristina Zenato yang dengan sengaja mendekati pemangsa berkenaan.

Cristina menjadikan kerja menyelamat jerung sebagai lambang kasih sayangnya kepada haiwan itu. Sehingga kini, beliau dikatakan telah membuang lebih 300 bentuk mata kail dari mulut haiwan berkenaan.

Apa yang menariknya, jerung yang diselamatkannya seakan menghargai kebaikan Cristina apabila ia tidak mencederakan, malah ‘bermanja’ dengan wanita itu.

“Foggy eye (nama jerung), satu hari ia muncul dengan satu mata kail di dalam mulutnya. Saya buka mulutnya dan melihat kail itu.

“Saya memutuskan untuk menyeluk tangan saya ke dalam mulutnya dan menarik kail berkenaan.

“Sebaik sahaja ia datang kembali, ia benarkan saya membelainya. Mulai hari itu, ia kadangkala muncul dan bersandar pada saya dan berhenti berenang,” kongsi Cristina, menceritakan detik perubahan sikap haiwan ganas itu menjadi seakan ‘haiwan peliharaannya’.

Bukan itu sahaja, kata Cristina, sebaik sahaja dia membuang mata kail dari jerung yang dikenalinya, jerung-jerung lain mula menghampiri dengan kail di mulut.

Hal ini membuatkan wanita itu yakin haiwan-haiwan berkenaan berkomunikasi antara satu sama lain.

Sumber: The Dodo, Florida Museum

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.