Siakap Keli
Gambar: Media Indonesia/Google

Foto Tular Terapi Aneh, Baring Atas Rel Kereta Api & Dakwa Mujarab Hilangkan Penyakit

Di dunia ini terdapat pelbagai amalan dan ritual pelik yang diamalkan, didakwa bermanfaat untuk proses rawatan dan perubatan manusia.

Di China misalnya, rata-rata rakyat negara tersebut mempercayai bahawa bahagian-bahagian tertentu daripada haiwan liar sangat mujarab dalam perubatan tradisional seperti taring harimau, kuku beruang dan sebagainya.

Malangnya, fahaman tersebut tidak dapat dibuktikan secara saintifik sehingga ke hari ini.

Dalam masa sama, hidupan liar di hutan belantara semakin diancam kepupusan akibat diburu secara berleluasa bagi tujuan tersebut.

Gambar: Media Indonesia/Google

Terapi besi landasan kereta api

Sementara itu, berbeza pula kepercayaan di Indonesia di mana segelintir masyarakat di sana percaya bahawa landasan kereta api sangat mujarab dan boleh mengubati penyakit.

Di wilayah Rawa Buaya, Jakarta Barat, didapati ramai orang kampung melakukan ‘terapi’ dengan cara tidur di atas landasan kereta api.

Difahamkan, mereka akan melakukan ‘terapi’ tersebut pada waktu matahari sudah mulai turun, berkemungkinan sekitar lewat petang.

Menyentuh tentang keberkesanan, dikatakan landasan yang dibina daripada besi dan mengandungi elektrik itu mampu menyembuhkan beberapa penyakit.

Gambar: Media Indonesia/Google

Turut didakwa bahawa ia juga sangat bagus untuk saraf.

Bagaimanapun, tindakan mereka ini dibantah oleh pihak kesihatan wilayah berkenaan dengan mendakwa aliran voltan elektrik yang mengalir di landasan berkenaan tidak diketahui kekuatannya.

Ia akan memberi kesan buruk kepada mereka sekiranya berlaku renjatan elektrik yang tidak dijangka.

Sanggup dedah nyawa dengan risiko kerana duit

Bagaimanapun, kegiatan yang mengundang risiko pada nyawa itu dibuat ekoran faktor kemampuan menampung kos perubatan yang terhad bagi golongan bawahan seperti mereka.

Menurut pendapat seorang ahli akademik Universiti Negeri Jakarta, Robertus Robert, mereka sedar tindakan itu berbahaya tetapi mereka tiada pilihan.

“Mereka punya pengetahuan seperti itu, tapi untuk mengakses rawatan yang bagus, mereka tiada wang pula.

“Akhirnya mereka guna cara yang membahayakan nyawa,” katanya, memetik laporan Detik News.

Gambar: Media Indonesia/Google

Dalam pada itu, Robertus berpendapat, jika peluang perubatan untuk masyarakat sudah terbatas seperti ini, maka tidak mustahil akan datang akan muncul lagi amalan-amalan sebegitu.

“Akses kesihatan mahupun pendidikan harus lebih diperhatikan. Inilah kaitannya dengan keadilan (pemerintah),” jelasnya.

Berita fenomena rawatan pelik yang berlaku di Rawa Buaya, Jakarta Barat ini pernah dilaporkan oleh media-media Indonesia sekitar tahun 2011 dahulu.

Sumber: Detik News, Republika

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.