Gitaris, Eddy Wan Othman atau dikenali sebagai Eddy Malmsteen dan kakaknya, Wan Zunira disahkan telah meninggal dunia dipercayai akibat terkena renjatan elektrik malam tadi (22 Ogos).
Kedua-dua mereka maut selepas terkena renjatan alat pemanas air di sebuah rumah dekat Batu 11, Jalan Lama Gombak.
Menurut laporan Bernama, mereka ditemui dalam keadaan terbaring dalam bilik air rumah tersebut bersama seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe berkata, Wan Zunira sedang memandikan anaknya sebelum terkena renjatan secara tiba-tiba.
Dia kemudiannya cuba dibantu Eddy yang turut sama terkena renjatan sebelum sempat menyelamatkan kakak dan anak saudaranya.
“Siasatan awal polis mendapati semasa kejadian, mangsa iaitu kakak kepada lelaki berkenaan sedang memandikan anaknya dan tiba-tiba terkena renjatan elektrik, susulan penggunaan alat pemanas air di rumahnya.
“Lelaki itu (mangsa) yang juga merupakan seorang pemain gitar profesional tempatan, kemudiannya terdengar jeritan kakaknya meminta bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Pihak ambulans yang tiba turut mengesahkan kematian kedua-dua mangsa,” tambahnya. Anak kepada Wan Zunira dilaporkan sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Selayang.
Bagi meluah kesedihan akibat tragedi itu, abang kepada kedua-dua mereka telah berkongsi satu kiriman di Facebook miliknya.
Berikut adalah luahan Wan Razmie Wan Othman.
Aku sayang kamu duniaku, akhiratku
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul..
Dukacita di maklumkan bahawa kedua Adinda saya Wan Zunira ( kiri) dan Eddy Wan Othman (kanan) sudah berpindah alam menghadap Ilahi malam tadi.
Kedua jenazah mereka kini di Forensik Selayang dan anak bongsu kepada adinda saya Allahyarhamah Wan Zunira kini di ICU selayang kerana terlibat sama.
InsyaaAllah jenazah akan di bawa balik ke Gombak batu 11 untuk dikebumikan di sini..
Perginya seorang ibu ketika sedang menyempurnakan tugasan terakhir beliau memandikan anaknya.
Perginya seorang adik kerana berusaha menyelamatkan kakak dan anak buah yang sedang dalam renjatan elektrik.
Semoga keduamu pergi sebagai syahid dan syuhada. Berehatlah kedua adik ku.. Tugasan kalian di dunia dah berakhir.. Semoga Allah menerima kebaikan kamu berdua.
Sementara itu, rakan artis, Datuk Hattan juga dilihat mendoakan Allahyarham di Facebook miliknya.
Moga almarhum Edy Wan Osman ditempatkan didalam golongan orang orang soleh…
Posted by Hattan on Saturday, 22 August 2020
Sumber: Bernama, Wan Razmie Wan Othman