Seekor anjing jalanan di China mengalami kesan lebam selepas diseret di atas jalan raya oleh seorang penunggang motosikal yang mendakwa ingin menjadikan ia sebagai haiwan peliharaannya, lapor Daily Mail.

Rakaman yang ngeri itu menyaksikan anjing kecil tersebut yang mempunyai ikatan di leher dengan tali diikat pada bahagian belakang motosikal menggerakkan kakinya dengan keadaan tidak berdaya.

Orang awam yang melihat kejadian itu telah menghentikan lelaki itu. Anjing kecil tersebut telah dibawa ke klinik haiwan oleh penduduk setempat dan kini sudah menerima rawatan.

Lelaki berusia 48 tahun itu pula dihukum oleh pihak polis kerana telah melanggar peraturan lalu lintas setelah pihak berkuasa beri amaran mengenai kejadian itu.

Dia yang dipercayai bekerja sebagai pengawal keselamatan mendakwa bahawa dia membawa anjing liar itu pulang untuk memeliharanya sebagai haiwan kesayangan. Dakwanya lagi, anjing itu pada mulanya berlari, namun akibat keletihan ianya diseret di belakang motosikal.

Gambar yang dimuatnaik oleh penduduk menunjukkan haiwan malang itu mengalami lebam di seluruh badannya serta mengalami kecederaan di kaki ketika dirawat di klinik haiwan.
Sumber: Daily Mail