Siakap Keli

TERKINI: PKPD Secara Pentadbiran Di Aman Jaya, Kedah Berkuatkuasa 28 Ogos

PUTRAJAYA, 27 Ogos – Mesyuarat Khas Menteri-Menteri memutuskan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Amanjaya, Kedah mulai 12.01 malam ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD tersebut melibatkan tiga (3) zon iaitu Kenanga, Mawar dan Melor.

“PKPD Pentadbiran ini melibatkan 22,360 individu iaitu 265 rumah, kesemua individu akan disaring oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

“Penduduk di zon terlibat tidak dibenarkan keluar dari zon, manakala orang luar tidak dibenarkan memasuki zon terlibat,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP), hari ini.

Difahamkan, pelaksanaan PKPD Pentadbiran tersebut akan dijalankan sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan KKM kelak.

Dalam pada itu, jelas Ismail, pelaksanaan PKPD Pentadbiran tersebut turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selain jalan keluar masuk zon berkenaan akan dikawal.

“Individu yang bekerja di luar PKPD, mereka tidak dibenarkan keluar untuk bekerja keluar kawasan PKPD.

“Manakala jika ada yang dari luar bekerja di kawasan PKPD, mereka tidak dibenarkan datang bekerja,” tambahnya lagi.

Jelas Ismail, pihak majikan dinasihatkan untuk tidak mengambil tindakan kepada pekerja berkenaan yang tidak dapat datang bekerja ekoran sekatan yang dibuat.

Sementara itu, rumah-rumah ibadat termasuk surau dan masjid tidak dibenarkan beroperasi.

“(Ia) beserta institusi pendidikan seperti sekolah, tadika, taska, pusat tuisyen dan semua yang berkaitan tidak dibenarkan beroperasi dan mesti ditutup sepanjang tempoh PKPD.

“Bagi premis perniagaan, hanya premis yang menyediakan perkhidmatan perlu sahaja yang dibenarkan, seperti kedai makan, restoran, kedai makan, kedai runcit, stesen minyak dan sebagainya.

“Kebenaran hanya untuk take away (bungkus) dan bawa pulang sahaja dan waktu operasi dari 8 pagi hingga 8 malam sahaja,” katanya lagi.

Bagaimanapun, premis lain seperti kilang, pasar malam dan pasar tani juga tidak dibenarkan.

Namun, pasar pagi (awam) dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 2 petang dan hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan.

Tambah Ismail lagi, klinik dan hospital dibenarkan beroperasi selama 24 jam, manakala farmasi dan kedai ubat pula hanya dibenarkan dari 8 pagi hingga 8 malam.

Dalam masa sama, stesen minyak dan kedai runcit turut dibenarkan hanya dari 8 pagi hingga 8 malam sahaja.

Bagaimanapun, orang awam dibenarkan untuk keluar sekiranya berlaku kecemasan dan mendapat kebenaran.

Sumber: RTM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa