Siakap Keli
Gambar Via Bernama

JPJ Sarawak Beroperasi Sabtu, Ahad Mudahkan Pembaharuan Lesen, Cukai

KUCHING, 30 Ogos (Bernama) — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak akan membuka kaunter pada Sabtu dan Ahad bagi memudahkan orang ramai memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) mereka sebelum 30 Sept depan.

Pengarah JPJ Sarawak Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata langkah itu  seiring pengumuman Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong semalam bahawa orang ramai diberi tempoh hingga penghujung bulan depan bagi memperbaharui LMM dan LKM selepas pengecualian berbuat demikian tamat esok.

“Untuk Sabtu dan Ahad, (waktu) pejabat dibuka dari 8 pagi hingga 1 tengah hari sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan 300 peserta acara Kayuhan Basikal D’Ambang Merdeka dari Kuching ke Serian di Ibu pejabat JPJ Sarawak di sini hari ini.

Katanya JPJ Sarawak juga tidak akan mengeluarkan saman terhadap pemandu yang LMM dan LKM dikesan tamat tempoh sepanjang bulan depan, namun butiran mereka akan diambil bagi memastikan mereka memperbaharui lesen sebelum 30 Sept ini.

Sementara itu, Mohd Shafiq berkata bagi tempoh 1 hingga 27 Ogos lepas, JPJ Sarawak mengutip bayaran saman berjumlah RM218,556.10 daripada mereka yang mengambil peluang penawaran diskaun hingga 70 peratus bagi bayaran saman JPJ di seluruh negara bersempena Bulan Kemerdekaan.

Pemberian diskaun bermula 1 hingga 31 Ogos tersebut hanya terpakai kepada mereka yang melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, katanya.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story