Selepas 19 Tahun Merdeka, Logo Hari Kebangsaan Pertama Digunakan Pada 1976

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Tahukah anda walaupun negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, namun sambutan hari bersejarah itu diraikan buat pertama kali dengan penggunaan logo, 19 tahun selepas tarikh keramat itu?.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Badrul Redzuan Abu Hassan berkata logo Hari Kebangsaan hanya mula dicipta pada 1976 dengan tema ‘Ketahanan Rakyat’.

Beliau yang pernah membuat kajian dan menerbitkan artikel bertajuk ‘Implikasi Komunikatif Logo Hari Kemerdekaan: Sebuah Nota Penyelidikan” bersama-bersama rakan penulis Sitinurbayu Mohd Yusoff berkata, logo sulung itu diperkenalkan jawatankuasa Perayaan Hari Kebangsaan pada tahun berkenaan.

“Malaysia merupakan antara negara yang melihat logo sebagai antara elemen penting dan mempunyai  peranan dalam mengajak rakyat agar lebih menjiwai Hari Kemerdekaan.

“Sehingga kini, sebanyak 38 logo telah direka dan terdapat logo yang diguna pakai secara berulang misalnya logo yang menggunakan simbol gagasan 1Malaysia yang diguna pada 2009 sehingga 2013,” katanya kepada Bernama.

Badrul Redzuan berkata berdasarkan kajian beliau pada 2014 itu, mendapati pada awalnya logo Hari Kebangsaan direka cipta oleh kumpulan pensyarah dan pelajar Universiti Teknologi MARA dan kemudiannya pertandingan mencipta logo diperkenalkan sekitar 1988 dalam menggalakkan penglibatan orang ramai menyambut Hari Kebangsaan.

“Logo yang digunakan dipilih daripada pemenang pertandingan, kecuali pada 1991, logo bertemakan ‘Wawasan 2020’ direka cipta  seorang artis yang juga pensyarah kanan Universiti Teknologi MARA, Hashim Hassan,” katanya.

Badrul Redzuan  berpandangan logo Hari Kebangsaan yang mempunyai elemen patriotik secara tidak langsung berfungsi sebagai platform menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang sesuatu isu termasuklah perpaduan dan semangat setia kawan.

“Logo Hari Kebangsaan yang baik dapat menggarap inti pati bermakna kepada masyarakat dibantu dengan reka bentuk serta visual menarik yang membawa makna sosiobudaya kontemporari,” katanya.

Baginya logo juga berupaya memantapkan sesuatu identiti bangsa yang ingin ditonjol dan disampaikan selain perlu direka ringkas agar mudah diingati.

Beliau turut memuji rekaan logo Hari Kebangsaan 2020 iaitu ‘Malaysia Prihatin’ sebagai berjaya menterjemahkan keadaan semasa negara yang berdepan wabak COVID-19 dan penggunaan semiotik sosial yang bentuk hati, katanya amat bertepatan dengan sambutan kali ini.

“Bentuk hati yang digunakan dalam logo itu melambangkan keprihatinan, kasih sayang dan empati selain simbol kenegaraan melalui warna yang terdapat pada Jalur Gemilang,” katanya sambil menambah proses ciptaan logo harus bersifat demokratis.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Tambah komen

Dari Wiser.my