Siakap Keli

Anak Dapat Rasa Ayah Akan ‘Pergi’ Sebab Tinggalkan Nasihat Terakhir, Kadi Johor Bharu Meninggal Dunia Akibat Lemas Ketika Skuba

JOHOR BAHRU, 6 Sept – Jenazah kadi daerah Johor Bahru, Mohd Fahami Abd Samad, 45,  yang meninggal dunia akibat lemas semasa melakukan aktiviti selam skuba di perairan Kampung Air Batang, Pulau Tioman dekat Rompin semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar -Raudhah, Mount Austin di sini, pagi tadi.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira pukul 10 pagi dan dianggarkan lebih 1,000 orang hadir termasuk bekas Mufti Johor yang juga Ahli Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Noh Gadut yang bertindak membacakan talkin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi serta Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Jenazah Allahyarham Mohd Fahami  sebelum itu dibawa ke Masjid Al Jawahir di Mutiara Rini untuk disembahyangkan kira-kira pukul 9 pagi.

Anak sulung Allahyarham Fahami, Amir Fuhaira, 18, ketika ditemui berkata ayahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian namun kerap memberi nasihat kepadanya agar bertanggungjawab menjaga keluarga.

“Rasa terkejut, sedih sebab saya jauh di Terengganu dan tiba-tiba pakcik (bapa saudara) suruh ambil penerbangan paling cepat. Kali terakhir jumpa (ayah) pada malam Jumaat, saya naik bas ke Terengganu, salam macam biasa  tapi kebelakangan ini ayah selalu cakap, “Amir dah besar boleh buat semua sendiri…bila mak suruh beli barang ayah kata suruh Amir beli”.

“Kita dapat jangka (pemergian) sebab dia kata kalau boleh utamakan emak dari ayah..dia macam dah jangka,” kata penuntut Universiti  Malaysia Terengganu (UMT) itu dalam nada sebak ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, bapa mertua Allahyarham Fahmi, Madzlan Abas, 73, berkata dia menerima perkhabaran duka itu daripada anaknya yang juga isteri Allahyarham, Fauzi Norani Madzlan, 42, ketika dalam perjalanan ke Johor Bahru dari Batu Pahat.

Katanya kali terakhir berjumpa menantunya pada Khamis lepas semasa menziarahi Amir Fuhaira yang mendapat panggilan ke UMT untuk melanjutkan pelajaran.

“Keperibadian arwah memang seorang yang baik dan bertanggungjawab sebagai seorang menantu serta pegawai Jabatan Agama Islam negeri. Ia dapat dilihat hari ini, dengan ramai saudara dan sahabat yang datang memberi perghormatan kepada Allahyarham dengan menunaikan solat jenazah.

“Tiada tanda tentang pemergian Allahyarham, cuma saya pada Jumaat lepas, selesai solat Jumaat ada terpandang bilik mandi mayat di sebelah kiri, dan terdetik siapa yang akan meninggal dunia,” katanya.

Allahyarham Mohd Fahami meninggalkan seorang balu dan empat anak berusia tiga hingga 18 tahun.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang