Budaya membaca merupakan amalan mulia yang patut diterapkan sejak usia kecil, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Pun begitu, tugas menyemai rasa suka membaca dalam diri anak-anak ada cabarannya. Ia memerlukan kesabaran, usaha berterusan serta tauladan daripada ibu bapa sendiri.
Tambahan pula jika kita sedang mendidik anak kecil yang belum tahu apa-apa. Ada masa habis dikoyak buku cerita miliknya.
Namun jangan risau, ia merupakan perkara normal bagi kanak-kanak kecil. Tindakan ini sebenarnya boleh diatasi dengan cara yang betul.
Nak tahu caranya? Jom baca perkongsian Puan Nor Zabetha mengenai langkah beliau melatih si anak agar tidak lagi mengoyak buku.
Dua bulan lalu, saya dapat tips dari jurujual buku supaya Nadra tak koyakkan buku. Bagus tipsnya, saya kongsikan di sini.
Kanak-kanak sebaya Nadra dalam likungan umur setahun lebih ke 2 tahun begini, mereka tidak tahu kesan dan mereka tidak reti menghargai. Mereka ingin tahu, jadi koyak-mengoyak itu biasa.
Kata jurujual, ambil satu buku yang dia akan baca, mana-mana buku untuk dibiasakan. Baca bersama-bersama.

Kalau dia koyak, katakan jangan kepadanya. Pada masa yang sama, ambil pita pelekat dan tampal di kawasan yang koyak dihadapan anak. Buat berulang-kali, sehingga dia faham buku bukan untuk dikoyakkan tetapi untuk dibaca.
Jadi saya pun amalkan. Ada dua buku saya sediakan untuk di’korban’kan. Sepanjang proses ini, sekejap dia koyak, sekejap lagi dia berdiri dan pijak buku. Macam-macam dikerjakan buku. Sudah macam pekasam. Haha! Ulang 5 6 kali. Lama-lama dia pun faham.
Apabila dia mula faham, setiap kali di muka surat yang dikoyakan olehnya, dia tunjukkan dan tanya “Hoh!Hoh! Siapa buat?”, kehairanan dia dengan pelat-pelat, antara jelas dengan tidak. Padahal diri sendiri punya kerja. Haha.
Bagus idea jurujual ini. Lama-kelamaan Nadra dah faham, buku untuk baca dan bukan untuk dikoyakan. Jadi setiap malam sebelum tidur, saya luangkan masa baca buku bersamanya.
Semalam matanya masih aktif dan tak mahu tidur. Jadi saya tutup semua lampu dan bilik jadi gelap, supaya nanti dia tidur sendiri. Saya pura-pura tidur sambil memerhati.
Dalam gelap dan samar-samar. Dia ambil bukunya dan letak Kitty Boo di atas ribanya. Kanak-kanak ini seperti mesin fotokopi. Apa kita ajar itu yang dia ikut. Jadi dia ajuk pada Kitty Boo, bagaimana saya membaca bersamanya.
“Boo. Hai baby”. Disuruhnya Boo, ucapkan hai pada watak anak-anak kucing. Ditekapnya Kitty Boo pada setiap muka surat.
Dia memaksa Kitty Boo membaca. “Tengtiu” (thank you). “Muax”, sambil diciumkan Kitty Boo pada buku. Entah apa kisah agaknya yang disembangkan dengan Kitty Boonya itu.
Kemudian, dia letih. Ditariknya buku cerita yang sudah rupa pekasam, ditampal sana dan sini. Tertidur dia bersama Kitty Boo dan buku.
Saya harap, saya istiqomah dalam menerapkan rasa cinta Nadra pada budaya membaca. Bagi kanak-kanak begini, kita yang perlu terapkan tabiat. Mereka ikut sahaja. Kalau kita berhenti mereka turut sama berhenti. Nanti lama-lama dia lupa.
Saya suka membaca sejak dari kecil, macam-macam jenis bacaan, komik, sejarah, fakta dll. Paling saya suka jenis bacaan am. Elok budaya begini kita terap dari kecil, supaya jadi tabiat. Makin banyak bacaan, makin berilmu.
Cara lekatkan kembali muka surat yang terkoyak
Berikut merupakan cara untuk melekatkan semula helaian buku yang terkoyak dengan cara yang lebih kemas.

1. Letakkan kertas minyak pada muka surat belakang yang terkoyak.

2. Gam bahagian yang terkoyak

3. Lekatkan kedua-dua bahagian yang terkoyak

4. Lapiskan kertas minyak kedua pada bahagian atas lapisan yang telah digam. (Kertas minyak diletakkan antara dua helaian bagi mengelakkan helaian terlekat sesama sendiri.)

5. Tindih buku dengan objek berat untuk kemaskan lekatan

Sumber: Nor Zabetha, Felt Magnet