Siakap Keli
Gambar: BERNAMA/Orang Awam

(Video) Viral Gajah Liar Berkeliaran Cuba Masuk Kedai Di R&R Titiwangsa, Gerik, Dihalau Ke Habitat Asal

GERIK, 8 Sept (Bernama) — Seekor gajah liar yang dilaporkan berkeliaran di sekitar hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa Gerik, sejak beberapa hari lepas, telah dihalau ke habitat asalnya yang terletak di kawasan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata tindakan itu dilaksanakanĀ oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.

“Gajah liar sering memasuki kawasan itu berkemungkinan untuk mencari makanan namun ia tidak mengganggu sesiapa,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Justeru, beliau meminta pengguna jalan raya supaya tidak membunyikan hon kenderaan dan memasang lampu bagi mengelakkan gajah di kawasan terbabit mengamuk.

“Ini kerana gajah amat sensitif dengan elemen tersebut yang boleh membahayakan orang ramai,” katanya.

Ahad lalu, orang awam yang berada di kawasan R&R itu dilaporkan menyedari kehadiran gajah liar yang cuba masuk ke kedai bagi mendapatkan makanan selain menjatuhkan tong sampah di kawasan berkenaan, pada kira-kira jam 10 malam.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan membabitkan orang awam mahupun kerosakan kenderaan dilaporkan berlaku.

Sumber: BERNAMA, Nor Fazlan (video)

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.