Siakap Keli

Budak 2 Tahun Dilapor Alami Sesak Nafas, Dipercayai Tersangkut Kacang Di Paru-Paru

DUBAI: Sekumpulan pakar bedah ENT (ears, nose, throat) berjaya mengeluarkan kacang dari salah satu paru-paru seorang kanak-kanak yang secara tidak sengaja menelannya.

Bayi Zaeed Quachtooni telah di bawa ke hospital oleh ibunya setelah mengalami sesak nafas selama dua hari selepas makan kacang tanah.

Salah seorang pakar di Hospital Medcare, Al Safa, Dr Muhammad Jabbr menceritakan kejadian yang telah diceritakan oleh ibunya.

“Dia memberitahu saya bahawa dua hari sebelumnya, kanak-kanak itu telah makan kacang sambil bergembira dengan ahli keluarganya dan kemudian secara tiba-tiba dia telah mengalami batuk yang teruk”.

“Dia cuba menenangkannya dan ianya berkesan buat seketika. Bagaimanapun, dia mengalami sesak nafas selepas itu”.

“Oleh itu, dia membawa kepada pakar ‘paediatric‘, lalu melakukan X-ray kepada paru-paru mangsa. Namun tidak dapat mengesan apa-apa yang menyebabkan sesak nafas itu”.

Setelah itu, dia telah dirujuk kepada Dr Jabbr.

Prosedur bronkoskopi digunakan dalam masalah ini untuk mengetahui punca kepada sesak nafas itu.

“Prosedur bronkoskopi adalah memasukkan alat khas melalui rongga mulut. Ia melalui kotak suara dan trakea (saluran pernafasan) terus ke bronkus di paru-paru.

“Akhirnya, saya menemui kacang tanah di dalam paru-paru kanan dan mengeluarkannya dari organ itu dan bayi berkenaan pulih pada hari sama,” katanya

Tiada kacang untuk kanak-kanak

Sekiranya kacang tidak dikeluarkan, ianya dapat menyebabkan gangguan pernafasan dan dapat menimbulkan masalah lain kepada paru-paru seperti bengkak bernanah, kata Dr Jabbr.

Dia mengingatkan para ibu agar tidak memberi makan kacang kepada bayi.

“Anak-anak kecil sering tersedak apabila makan sesuatu makanan dan sangat penting untuk memilih makanan yang sesuai di usia mereka. Sekiranya anda mahu memberikan kacang, lebih baik menghancurkannya dan taburkan di atas makanan anak. ”

Sumber: Gulfnews

Alfi Aiman