Siakap Keli
Gambar: Google

Pekerja Bangladesh Maut Jatuh Ke Dalam Kolam Kumbahan Minyak Panas

JASIN, 13 Sept (Bernama) — Seorang pekerja kontrak warga Bangladesh maut selepas terjatuh ke dalam kolam kumbahan minyak panas ketika sedang melakukan kerja-kerja pemasangan paip bomba di sebuah kilang ladang sawit di Rim di sini, 11.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Mispani Hamdan berkata hasil siasatan mendapati mangsa, Md Abdul Manan Molla, 39, terjatuh dari atas bumbung ke dalam kolam yang berketinggian kira-kira 15 kaki dan berkeluasan 12×14 kaki persegi.

“Rakan mangsa memaklumkan hanya mendengar bunyi dentuman kuat dan melihat mangsa sudah tiada di atas bumbung selain terdapat kesan lubang pada bumbung berkenaan, susulan itu penyelia kilang memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak polis dan bomba.

“Siasatan juga mendapati mangsa telah menjalankan kerja-kerja pemasangan paip bomba lebih dua bulan di kilang terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata proses menaikkan mayat mangsa memakan masa kira-kira tiga jam iaitu sehingga 2.45 petang tadi, kerana kolam kumbahan itu dipenuhi minyak panas. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.