Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Hanyut Lebih 24 Jam Di Langkawi, Dua Pemancing Akhirnya Ditemui Di Pantai Pasir Panjang Di Thailand

LANGKAWI, 14 Sept (Bernama) — Dua pemancing yang hilang di perairan Teluk Yu, dekat sini, pada petang Sabtu, ditemukan selamat di Pantai Pasir Panjang, Thailand, malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata terdahulu pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan bot dinaiki Nor Aishah Musa, 31, dan Bhon Heng Sang, 32, pada 12.10 malam Sabtu.

Beliau berkata susulan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Kedah dan Perlis telah mengaktifikan operasi CARILAMAT untuk mengesan kedua-dua pemancing warga tempatan itu.

“APMM telah mengatur gerak sebuah bot Petir dan Kapal Maritim (KM) Siangin untuk melaksanakan pencarian dibantu oleh aset daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) melibatkan sektor pencarian seluas 47.2 batu nautika persegi.

“Kira-kira jam 9.30 malam tadi, kami menerima laporan daripada pihak polis mengenai penemuan mereka berdua di Pantai Pasir Panjang, Thailand oleh nelayan negara itu selepas hanyut akibat kehabisan minyak selain enjin bot mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zawawi berkata APMM telah mengatur urusan penghantaran pulang mangsa dengan bantuan nelayan dari negara jiran itu di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Tanjung Kemarong, Langkawi, pagi tadi.

“Mereka berdua telah selamat dibawa ke Jeti Tanjung Rhu 12.10 tengah hari tadi dan telah dibawa untuk menjalani saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Ayer Hangat sebelum diserah kepada waris masing-masing,” katanya.

Mohd Zawawi berkata APMM sebagai agensi peneraju operasi CARILAMAT di laut menyeru kepada seluruh komuniti maritim supaya sentiasa berwaspada, menitik berat soal keselamatan ketika berada di laut semasa melakukan sebarang aktiviti serta memastikan peralatan keselamatan sentiasa mencukupi dan dalam keadaan baik.

“Komuniti maritim boleh melaporkan tentang sebarang penemuan di laut atau di persisir pantai kepada pasukan penyelamat menerusi talian 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 dan 04-966 5307,” katanya.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.