Gambar Via Bernama

JPJ Pandang Serius Isu Berbasikal Atas Jalan Raya

IPOH, 14 Sept (Bernama) — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memandang serius isu aktiviti berbasikal di jalan raya yang dikhuatiri membahayakan pengayuh dan pengguna kenderaan lain yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata pihaknya akan mengkaji isu berkenaan bersama pihak berkuasa berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia bagi mendapatkan penyelesaian terbaik dalam menjaga keselamatan semua pengguna jalan raya termasuk mereka yang berbasikal.

“Dalam konteks undang-undang, basikal bukan golongan yang patut berada di atas jalan raya yang dikenakan cukai jalan.

“Bagaimanapun, tiada undang-undang khusus basikal di bawah Akta Pengangkutan Jalan yang boleh dikuatkuasakan dan JPJ akan bekerjasama dengan agensi lain untuk selaraskannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya (UPLR) JPJ di bangunan penyeliaan Plaza Tol (Lama) Jelapang di Km 268 Lebuhraya Utara Selatan di sini hari ini.

Beliau berkata JPJ akan mengambil langkah keselamatan dengan memberi advokasi pendidikan kepada pengguna basikal dalam konteks menggunakan jalan raya secara berhemah memandangkan semakin banyak aktiviti basikal di jalan raya sejak akhir-akhir ini.

Semalam, tular gambar sekumpulan individu yang berbasikal di laluan bertingkat (flyover) Rasah Kemayan menuju ke Seremban Gateway, Negeri Sembilan yang menimbulkan kerisauan orang ramai berikutan persekitaran yang tidak selamat untuk aktiviti itu.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, JPJ turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi meningkatkan aspek keselamatan di lebuh raya kendaliannya.

Shaharuddin berkata pemeteraian itu membolehkan kedua-dua pihak menjalankan inisiatif dan memperkukuh kerjasama strategik melibatkan operasi dan pelaksanaan penguatkuasaan di lebuh raya PLUS.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi PLUS Zakaria Ahmad Zabidi dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan.

Menurutnya, UPLR yang dirasmikan hari ini telah beroperasi mulai 1 Julai lepas sebagai pusat mengawal selia segala aktiviti UPLR yang melibatkan empat zon penguatkuasaan utama iaitu Stesen Penguatkuasa Lebuhraya JPJ di Hentian Rehat dan Rawat di Dengkil, Selangor; di Gunung Semanggol, Perak; di Pagoh, Johor; dan Paka, Terengganu masing-masing arah selatan.

Katanya, sejak diwujudkan secara berperingkat bermula 2018, UPLR berupaya mengurangkan kesalahan jalan raya antaranya tiada lesen memandu, cukai jalan, menggunakan lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan kenderaan membawa lebih muatan.

— BERNAMA

Sofea Shahira

There's always another side to every story

Editor: syafiq halim

Tambah komen

Dari Wiser.my