Siakap Keli

Atok Rindu Cucu Panggil ‘Tok Abah’ Lepas Sehari Anak & Cucunya Maut Dalam Kemalangan

BATU PAHAT, 17 Sept – Panggilan ‘Tok Abah’ pasti akan terngiang-ngiang di telinga seorang datuk setelah kematian cucunya yang kembali ke rahmatullah dalam satu kemalangan di Kampung Sengkuang, di sini, semalam.

Kasmuni Kasbi, 66, berkata cucunya itu, Mawar Normadiha Mohd Aisamuddin bersama anak bongsunya yang juga bapa Mawar, Mohd Aisamuddin, 32, meninggal dunia dalam kemalangan kira-kira pukul 2.30 petang itu.

Katanya, cucunya itu sememangnya mesra dan manja dengan dirinya memandangkan mereka tinggal serumah semenjak Mawar dilahirkan sampailah mampu menyebut perkataan ibu, ayah dan juga ‘Tok Abah’.

“Kali terakhir saya bertemu dengan cucu saya pagi semalam sebelum kejadian. Dia memanggil nama saya ketika sedang bersiap-siap untuk pergi berkelah di sebuah pantai di Rengit.

“Bagaimanapun saya agak terkejut setelah menerima khabar yang kedua-duanya terlibat dalam kemalangan tidak lama kemudian,” katanya ketika ditemui di kediamannya Kampung Parit Jayus Lombong, Sri Medan, di sini, hari ini.

Jelas Kasmuni yang terkesan dengan kehilangan cucunya, dia turut terasa dengan pemergian anak lelaki tunggalnya iaitu Mohd Aisamuddin yang merupakan harapan untuk menjaga dirinya dan isterinya Jamilah Sipo, 61.

Kali terakhir mereka bertegur sapa ketika malam sebelum kejadian sewaktu Allahyarham sedang membasuh kereta untuk bersiap-siap pergi berkelah.

“Arwah beberapa hari sebelum kemalangan agak pendiam berbanding sebelumnya termasuklah malam sebelum kemalangan dan cuma menjawab beberapa pertanyaannya sahaja,” katanya.

Pada kejadian semalam, kereta yang dipandu Mohd Aisamuddin hilang kawalan dan terbabas sebelum terhumban ke dalam parit.

Turut kemalangan, isteri Mohd Aisamuddin — Nurul Uyun Mad Sharif, 20, yang kini masih mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini.

Jenazah keduanya-duanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Jayus, kira-kira pukul 2.30 pagi tadi.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang