Siakap Keli

Dua Kilang, Kedai Runcit Diarah Tutup Kerana Kotor

TASEK GELUGOR, 17 Sept – Dua kilang memproses makanan dan sebuah kedai runcit diarahkan tutup selama 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan kotor.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKN Mohd Wazir Khalid berkata serbuan oleh 19 anggota dan pegawai itu dilakukan (JKN) Pulau Pinang dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) turut mengenakan kompaun sebanyak RM20,000 terhadap ketiga-tiga premis itu atas pelbagai kesalahan berkaitan kebersihan.

Menurutnya kilang pertama yang diserbu ialah kilang memproses mi sua di Kampung Selamat di sini yang didapati terletak berhadapan dengan kadang ternakan khinzir.

Kita (KKM) tidak setuju dengan lokasinya kerana ia boleh menyebabkan pencemaran makanan. Kilang ini pernah diserbu pada 2012 dan sehingga kini ia tidak berlesen,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan operasi  tersebut di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata mi sua yang dihasilkan di kilang berkenaan didapati diproses atas lantai serta dijemur secara terbuka yang berkemungkinan boleh menyebabkan ia dicemari bendasing atau najis burung.

Katanya, serbuan kedua dilakukan di kilang memproses kelapa bagi membuat kerisik juga di Kampung Selamat yang beroperasi lebih 10 tahun lalu tanpa lesen dan dalam keadaan kotor.

“Kita nampak pekerja kilang memijak (isi) kelapa yang dijemur. Isi kelapa juga disimpan dalam bekas kotor yang diletakkan di tepi tandas serta menggunakan saluran air paip tandas.” katanya menambah KKM bimbang pencemaran itu boleh menyebabkan berlakunya penyakit taun dan tifoid.

Mohd Wazir berkata kilang itu didapati menggaji pekerja warga asing yang tidak menerima sebarang suntikan dan produk kilang tersebut di hantar ke pasar sekitar Pulau Pinang.

Serbuan terakhir di sebuah kedai runcit di Tasek Gelugor mendapati terdapat najis tikus di tempat simpanan barangan selain kedai berkenaan menjual makanan dan paket minuman yang telah tamat tempoh.

Mohd Wazir berkata kompaun dan notis telah dikeluarkan oleh KKM dan MBSP mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang