Gambar: Google

Pemasang Mozek Didakwa Hentak Kepala Anak Teman Wanita Ke Dinding, Mengaku Tidak Bersalah

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) — Seorang pemasang mozek didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menghentak kepala anak teman wanitanya di dinding rumah sehingga  bengkak di dahi mangsa, Isnin lalu.

Tertuduh, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa lelaki berusia 13 tahun itu di sebuah rumah di Jalan Cheras 3 ½, di sini, pada 8 malam, 14 Sept lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri  tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin manakala peguam tertuduh, Choo Yeong Shing memohon jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya  menjaga ibu bapanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Tertuduh juga dilarang menganggu mangsa serta saksi pendakwaan dan mahkamah menetapkan 6 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Sumber: BERNAMA

Denin

Menulis untuk mendidik.

Editor: Fazidi

Tambah komen

Dari Wiser.my